WEBINAR GALAK GENERASI MUDA CELIK TENIS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » WEBINAR GALAK GENERASI MUDA CELIK TENIS

WEBINAR GALAK GENERASI MUDA CELIK TENIS

BINTULU 19 Mac, - Program webminar It’s all about Tennis secara dalam talian telah terbukti menarik perhatian orang ramai dengan mendapat sambutan meriah anjuran pelajar kursus ko – kurikulum QKS2111 Tenis, Semester Dua Sesi Akademik 2021/2022, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB).

Pengarah program, En. Muhamad Izzuan Bin Abd Rahman berkata, matlamat program tersebut ialah untuk membuka peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan lagi pengetahuan mengenai sukan tenis di samping membantu negara dalam melahirkan bakat – bakat baru memandangkan sukan tenis ketika ini kurang mendapat perhatian di dalam negara.

Menurut fasilitator kursus Mohd. Saufi Mohd. Ramli berkata, program sehari ini mendapat kerjasama dari Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) membariskan empat slot dengan perkongsian ilmu daripada penceramah – penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang sukan tenis diperingkat nasional dan luar negara. Tambah beliau, program serampang dua mata ini dirangka untuk memberi peluang dan mendidik mahasiswa untuk sentiasa berusaha memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun ketika pandemik dan mendedahkan sukan tenis kepada generasi muda khususnya.

Pensyarah UITM Shah Alam dan bekas pemain tenis negara, Profesor Madya Dr. Mohammad Rahizam Abdul Rahim dalam perkongsian beliau telah mengutarakan konsep 3 Ds of Success, iaitu desire, determination dan discipline di dalam slot beliau bertajuk From Zero to Hero Tennis kepada para peserta program. ‘Gabungan ketiga-tiga elemen ini mampu menghasilkann pemain yang berdaya saing sehingga ke peringkat antarbangsa’, tambah beliau.

Pemain tenis terkenal negara yang pengalaman selaku penceramah kedua, cik Jawairiah Noordin berkata keyakinan diri dan komitmen penuh adalah kunci kejayaan dalam sesuatu permainan, selain turut menceritakan pengalamannya di dalam sukan tenis bermula ketika berumur 7 tahun, dan mewakili Malaysia seusia 13 tahun. “Musuh utama di dalam sesuatu pertandingan adalah diri sendiri, bukannya lawan di gelanggang. Kita harus mengawal diri sendiri dan memperbaiki diri ketika bermain”, kata beliau sambil memberitahu, beliau kini sedang giat menjalani latihan dengan skuad kebangsaan untuk persiapan Sukan Sea di Vietnam pada bulan Mei nanti.

Encik Zulkhairi Mohd Khir yang merupakan Pengarah Pegawai Pendidikan dan Pembangunan Jurulatih di dalam slot ketiga menerangkan mengenai organisasi LTAM dan usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan untuk meningkatkan mutu permainan tenis ke peringkat yang lebih tinggi di Malaysia. Beliau menambah, “Di antara usaha untuk meningkatkan jumlah pemain dan mutu permainan tenis di dalam negara, LTAM dengan bantuan dari International Tennis Federation (ITF) telah mengadakan program pembangunan sukan tenis di seluruh negara dengan objektif antaranya untuk meningkatkan jumlah pemain dibawah 10 tahun dan meningkatkan penyertaan pelajar dalam pertandingan tenis, dan sijil kejurulatihan tenis Malaysia”.

“Untuk menjadi seorang pemain tenis yang bagus, kamu haruslah bermain selama 2 jam dalam sehari. Kamu juga haruslah terlibat dalam kejohan dan juga bermain dengan pemain tenis yang lebih baik”, nasihat Encik Zulkhairi.

Penceramah terakhir, CEO Arcadin Services SDN. BHD, Encik Afizal bin Abu Othman berkata, pengurusan masa adalah sangat penting bagi seseorang atlet ini kerana pada zaman sekarang atlet – atlet muda membuat kerja sambilan sambil bermain sukan. Oleh sebab itu, pengurusan masa amatlah penting untuk diterapkan di kalangan atlet- atlet muda. “Penglibatan dalam sukan tidak menghalang seseorang pemain untuk berjaya dalam bidang pelajaran”, kata beliau yang banyak berkorban masa dan tenaga semasa mewakili negara dalam sukan tenis.

Kuiz tenis mengakhiri program ini dengan penyertaan seramai 54 orang yang menawarkan hadiah – hadiah menarik kepada para peserta. Pemenang kuiz ini ialah Katerina anak Antalai manakala tempat ke-2 dimenangi oleh Nur Azreen Zulaikha binti Zamri dan tempat ke-3 dimenangi oleh Azwanliewandi bin Charlie Caesa.

Program ini adalah di antara beberapa siri program anjuran pelajar – pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu untuk membantu perkongsian ilmu bersama masyarakat luar yang diadakan secara berkala.

Date of Input: 21/04/2022 | Updated: 27/04/2022 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUEAK~