WEBINAR 2021: ‘LOVE IS HEALER OR KILLER?’ DAPAT SAMBUTAN SELURUH NEGARA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» PUTRABAKTI » WEBINAR 2021: ‘LOVE IS HEALER OR KILLER?’ DAPAT SAMBUTAN SELURUH NEGARA

WEBINAR 2021: ‘LOVE IS HEALER OR KILLER?’ DAPAT SAMBUTAN SELURUH NEGARA

PELAJAR kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1) Semester Kedua Sesi Akademik 2020/2021 Putra Bakti telah menganjurkan dengan jayanya Webinar 2021: ‘Love is Healer or Killer?’ pada 20 hingga 21 Mac lalu bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang maksud sebenar cinta.

Penganjuran program ini mendapat sambutan menggalakkan melalui penyertaan pelbagai pihak dari seluruh negara.

Pengarah program Jose Daniel Ingom Johnny berkata, program ini turut menerima sumbangan barang keperluan daripada orang awam dan keluarga pelajar khusus untuk membantu pelajar asnaf dan Putra Food Bank UPMKB.

“Putra Food Bank merupakan fasiliti yang disediakan untuk membekalkan makanan serta barang keperluan bagi pelajar golongan asnaf dan fakir miskin dengan slogan ‘Daripada Pelajar kepada Pelajar yang Memerlukan’,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program dua hari itu yang disertai 150 peserta.

Beliau berharap usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu dan meringankan beban para pelajar terbabit.

Beberapa tajuk yang dikupas pada program itu adalah slot ‘All Out of Love’ oleh Pensyarah Kanan UPMKB Dr Chan Siaw Leng, ‘Manisnya Cinta’ oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Noor Yasmin Mohamad Sakeri, ‘Toxic Relationship: In or Out?’ oleh Guru Bahasa Kanan UPMKB Fakhzan Buang.

Diikuti slot ‘Peritkah Cinta?’ oleh Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UPMKB Hairunisah Abdul Rahman, ‘Sedalam Mana Cinta’ oleh pensyarah JSTech FKPS UPMKB Mohammad Saufi Mohammad Ramli.

Selain itu, program itu juga turut mempromosikan program-program akademik yang ada di UPMKB melalui slot istimewa ‘We Love UPMKB’.

Dalam pada itu, Fasilitator Kursus QKK2101 Bakti Siswa Roslan Ismail berkata, program itu memberikan impak berkesan kepada semua peserta serta mendedahkan peserta dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mampu membentuk keperibadian diri.

“Ia juga untuk memantapkan unsur-unsur kemahiran insaniah dalam diri yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Pengalaman seperti ini hanya boleh diperolehi melalui program sebegini dan bukan dalam kelas, sekali gus akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Kursus QKK2101, Bakti Siswa merupakan Kursus Kokurikulum Berkredit yang wajib diambil pelajar program diploma UPMKB di mana para pelajar dilatih untuk melaksanakan program yang berteraskan kemanusiaan kepada seluruh komuniti awam.

Berikutan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat, program ini dilaksanakan melalui kaedah alternatif iaitu secara webinar bagi penerapan ilmu secara dalamn talian dengan harapan akan membawa manfaat kepada orang ramai.



Tarikh Input: 26/03/2021 | Kemaskini: 29/03/2021 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXERGAc~