LEBIH 800 KUNJUNGI PAMERAN HAIWAN PUTRA BAKTI@ANIMEX 3.0 UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» PUTRABAKTI » LEBIH 800 KUNJUNGI PAMERAN HAIWAN PUTRA BAKTI@ANIMEX 3.0 UPMKB

LEBIH 800 KUNJUNGI PAMERAN HAIWAN PUTRA BAKTI@ANIMEX 3.0 UPMKB

BINTULU: Lebih 800 pengunjung mengunjungi pameran haiwan pada Program Putra Bakti@AnimEx (Animal Exhibition) 3.0 di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) kelmarin (Ahad).

Program itu dianjurkan Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa(Kumpulan 4 dan 5) Sesi Akademik 2019/2020-2 bertujuan memberi kesedaran tentang penjagaan haiwan peliharaan, reptilia dan haiwan eksotik.

Fasilitator program Roslan Ismail berkata, program yang berlangsung dua hari itu memberi banyak faedah kepada para pelajar antaranya kemahiran kerja berkumpulan dan kemahiran berkomunikasi antara satu sama lain.

“Program ini juga dapat melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang bukan sahaja aktif dalam bidang akademik malah turut aktif dalam bidang kokurikulum serta mampu bersaing dengan masyarakat luar,” ujarnya di sini semalam.

Beliau berkata, pendedahan terhadap haiwan-haiwan eksotik dan penjagaan haiwan peliharaan masih lagi kurang dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja. “Boleh dikatakan majoriti masyarakat hari ini mempunyai haiwan peliharaan sendiri seperti anjing dan kucing malahan apa sahaja haiwan yang boleh dibelai.

Haiwan peliharaan akan membangunkan rasa tanggungjawab dan sifat empati dalam diri seseorang kerana haiwan memerlukan penjagaan dan perhatian setiap masa,” tambahnya.

Justeru katanya, penting memupuk kesedaran dalam penjagaan yang betul memandangkan haiwan ini bergantung kepada manusia untuk mendapatkan makanan dan penjagaan yang sempurna.

Menurutnya, melalui Putra Bakti@AnimEx 3.0 ini, pelajar juga secara tidak langsung dapat mengetahui dan mempelajari mengenai kepentingan semangat berpasukan dalam mencapai kejayaan, berfikir secara kreatif dan inovatif, menambahkan sikap kasih sayang terhadap segala jenis haiwan serta mampu menyelesaikan masalah dalam masa yang singkat.

Di samping itu katanya, mereka dapat mengetahui pelbagai kemahiran insaniah selain pembelajaran berkaitan dalam program terbabit. Program itu dikendalikan oleh En. Roslan dan Dr. Maru Ali.

Tarikh Input: 18/06/2020 | Kemaskini: 20/06/2020 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdQAR~