Warga UPM Kampus Bintulu Lawat Sg.Liang | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » Warga UPM Kampus Bintulu lawat Sg.Liang

Warga UPM Kampus Bintulu lawat Sg.Liang


SERIA, 21 Feb – Serombongan lebih 80 orang pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Kampus Bintulu, Sarawak telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Perhutanan Brunei di Sungai Liang, di sini, hari ini.

Pensyarah Kanan yang juga Timbalan Dekan Universiti Putra Malaysia, Bintulu, Dr. Ong Kian Huat semasa ditemui Media Permata, menjelaskan lawatan tersebut merupakan program tahunan pelajar-pelajar Diploma Perhutanan Tahun Kedua, untuk mendedahkan kepada mereka operasi perhutanan yang berbeza seperti di Negara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Brunei merupakan perhentian kedua, setelah kunjungan mereka ke Taman Negara Bukit Lambir, Miri dan di sana para pelajar telah berpeluang mendengarkan penerangan mengenai sistem perhutanan dan juga pengurusan taman terlindung di Sarawak.

Sementara itu, semasa di Brunei, mereka membuat kunjungan ke Pusat Perhutanan Sungai Liang, kemudian meneruskan lawatan ke Pusat Tropika Biodiversiti di Labi dan juga melawat kawasan Kilang Papan di Labi.

“Semasa berada di Brunei, harapan kami untuk mendapatkan pengetahuan mengenai pengurusan perhutanan di negara ini dan juga mengenai projek antarabangsa ‘Heart of Borneo’ selain pelajar juga akan turut membuat lawatan ke projek tersebut di Lawas, supaya mereka dapat membezakan operasi yang berbeza antara kedua-dua buah negara,” kata Dr. Ong Kian Huat.

Pelajar-pelajar tersebut merupakan pelajar Diploma Perhutanan di UPM, Kampus Bintulu, di mana universiti tersebut menawarkan Program Diploma berkenaan, bagi pengajian selama tiga tahun, iaitu tahun pertama, kedua dan semester pertama bagi tahun ketiga pelajar akan mengadakan pengajian, manakala semester terakhir mereka akan melakukan latihan industri.

“Subjek perhutanan yang diajarkan kepada pelajar, merangkumi keseluruhannya daripada peringkat asas hingga operasi, termasuklah pengurusan hutan yang asas, seperti sukatan hutan dan operasi perhutanan, serta pada tahun ini universiti kami mempunyai seorang pelajar daripada Negara Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

Beliau berharap daripada lawatan yang merupakan kali pertama diadakan ini, para pelajar akan mendapat banyak maklumat mengenai pengurusan hutan di Brunei dan mereka akan mengambil baik hasil dari lawatan itu dan membuat cadangan untuk memperbaiki lagi sistem pengurusan perhutanan di Sabah dan juga Sarawak.

Sementara itu, Pegawai Perhutanan Brunei, Dayang Rosminah Mohsin memberitahu, Pusat Perhutanan yang berlokasi di Sungai Liang sudah beroperasi sejak tahun 1986 dan merupakan operasi utama perhutanan, selain menempatkan ibu pejabat, turut terdapat di kawasan berdekatan bangunan lainnya seperti tempat penanaman, tapak semaian, Muzium Perhutanan dan sebagainya.

Selain itu, ia turut menempatkan sekolah latihan perhutanan untuk kakitangan jabatan tersebut yang dikendalikan oleh seramai 10 orang pelatih dan terdapat dua orang pensyarah, yang mana sekolah latihan tersebut memberikan kursus asas dan juga kemahiran buruh-buruh hutan.

Menurutnya lagi, Pusat Perhutanan sering menerima lawatan dari luar dan dalam negara, seperti daripada sekolah-sekolah dan maktab serta institusi pendidikan, terutama sekali lawatan ke Muzium Perhutanan dan juga dijadikan pusat sehenti bagi agensi pelancongan.

Penolong Pegawai Perhutanan Tingkat 2 yang juga Ketua Unit Muzium, Hajah Halimah binti Haji Morni, pula menjelaskan, Muzium Perhutanan dibina pada tahun 1984 dan mula beroperasi pada tahun 1986, yang mana sebelum ini muzium itu dibina menggunakan papan beratapkan daun rumbia, kemudian telah diubahsuai atapnya.

Muzium tersebut mempunyai tujuh ruang pameran, antaranya tempat pameran jenis-jenis kayu damar, hidupan liar, pakaian seragam perhutanan, jenis-jenis serangga dan pameran perkongsian dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) iaitu mengenai dengan bahan-bahan hutan seperti peralatan pengisar padi, sampah-sampah kayu dan papan, termasuk juga contoh-contoh kilang serta pameran bahagian jenis rotan-rotan.

Menurutnya lagi, muzium tersebut sering menjadi tumpuan pelawat dan mereka telah menerima kira-kira lebih 100 pengunjung dalam masa sebulan dan jumlah itu akan bertambah pada musim cuti persekolahan dan lainnya, termasuk kunjungan para pelancong luar negara.

“Dengan adanya Muzium Perhutanan itu adalah dihasratkan untuk mendedahkan pengetahuan kepada orang ramai mengenai dengan kaedah perhutanan, termasuklah pengetahuan kaedah-kaedah yang dapat digunakan semasa tersesat di dalam hutan, untuk mengetahui nama-nama pokok, kayu-kayu, selain mengetahui jenis-jenis daun yang boleh dimakan ataupun tidak, penggunaan kayu untuk dijadikan piring, mangkuk dan sebagainya,” ujarnya.


Date of Input: 13/03/2017 | Updated: 13/03/2017 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUQAy~