UPM KAMPUS BINTULU KONGSI ILMU PERHUTANAN DENGAN TOKYO NODAI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » UPM KAMPUS BINTULU KONGSI ILMU PERHUTANAN DENGAN TOKYO NODAI

UPM KAMPUS BINTULU KONGSI ILMU PERHUTANAN DENGAN TOKYO NODAI

ANTARA yang menyertai program An Introduction to Forestry in Sarawak secara dalam talian, baru-baru ini.

 

BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertanian Jepun (NODAI) di Tokyo meneruskan kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan berkaitan perhutanan.

Terbaru, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPM Kampus Bintulu, Sarawak menganjurkan program An Introduction to Forestry in Sarawak bagi memberi pendedahan mengenai pendidikan serta penyelidikan yang dijalankan di hutan Sarawak kepada kakitangan dan pelajar NODAI secara dalam talian dari 11 hingga 12 Disember lalu. 

Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPM Kampus Bintulu, Dr. Zamri Rosli berkata, kedua-dua universiti sedang merangka kerjasama pertukaran kakitangan dan pelajar di samping menjalankan kerjasama dengan pakar perhutanan dari Jepun. 

Menurutnya, para penyelidik UPM dan NODAI juga bergiat aktif dalam penyelidikan berkaitan pengurusan dan sumbangan hutan seperti silvikultur dan terapi hutan. 

“Kerjasama antara UPM dan NODAI telah lama dijalankan terutama dalam bidang rehabilitasi hutan. UPM sentiasa terbuka untuk kolaborasi penyelidikan dengan semua pihak sama ada tempatan atau antarabangsa bagi mengukuhkan lagi peranan menjadi hab penyelidikan hutan di Sarawak bersama Jabatan Hutan Sarawak seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun  Abang Openg.

“Pelajar NODAI juga dipelawa melanjutkan pengajian  siswazah mereka di UPM,” katanya di sini, baru-baru ini.

Topik perhutanan yang dibincangkan dalam program dua hari tersebut termasuk pengurusan hidupan liar, hutan paya bakau, kekayaan flora dan fauna serta penerangan mengenai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) di Sarawak.

Para penceramah yang dijemput antaranya Profesor Datin Dr. Faridah Hanum, Profesor Madya Dr. Geoffrey James Gerusu, Dr. Zamri Rosli, Dr. Keeren Sundara Rajoo dan Dr. Suziana Hassan.

Dalam pada itu, wakil penyelidik daripada Tokyo NODAI, Dr. Mami Irie berharap kerjasama antara UPM dan NODAI dapat dijalankan secara bersemuka bermula tahun depan berikutan penyelidikan berkaitan perhutanan perlu diadakan bersemuka dan latihan di lapangan.

Maklumat lanjut, klik DISINI

 

Date of Input: 27/12/2021 | Updated: 27/12/2021 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
CVBXFA:05:31