PUTRA BAKTI@ANIXPLORE (ANIMAL EXPLORATION) 2019 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » PUTRA BAKTI@ANIXPLORE (ANIMAL EXPLORATION) 2019

PUTRA BAKTI@ANIXPLORE (ANIMAL EXPLORATION) 2019

Kembara Alam bersama AniXplore

BINTULU : Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1 dan 2) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menganjurkan AniXplore (Animal Exploration) di Taman Tumbina, Bintulu pada 15 hingga 17 Februari 2019.

Menurut pengarah program, saudari Engelina Bungan Anak Kevin, “Objektif kami adalah untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, terutamanya flora dan fauna demi mengekalkan keseimbangan biodiversiti dan ekosistem kepada orang awam dan pelajar. Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta tentang hidupan liar yang terancam seperti beruang matahari dan burung kenyalang serta tumbuhan liar seperti anggerik merpati.’’

AniXplore merupakan usahasama antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan pelajar program Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan dan Diploma Kejuruteraan Pertanian seramai 66 orang di bawah penyeliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPMKB. Pengurus Taman Tumbina, En. Kamil Bin Bujang, memberi sokongan penuh kepada program ini setelah diberi kelulusan daripada pihak BDA dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan sepanjang ianya berlangsung.

“Kami amat bersyukur kerana pihak Tumbina sanggup meluangkan masa dan tenaga bagi membenarkan program ini dijalankan serta membantu dari pelbagai sudut untuk menyediakan semua keperluan”, kata Dr. Juriah Kamaludeen, salah seorang penasihat program.

Seramai 40 orang peserta bersama guru pengiring daripada empat buah sekolah di sekitar Bintulu, iaitu SK Asyakirin, SK Agama Bintulu, SK Bintulu dan SK Kampung Baru terlibat dalam menjayakan program ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Edu-Trail Trekking, di mana para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan berlumba sambil mengembara di sekeliling Taman Tumbina di samping mengenali flora dan fauna yang terdapat di sana.

Selain itu, aktiviti kitar semula, iaitu Stone to Diamond, diadakan secara terbuka kepada orang awam yang berhasrat untuk melupuskan barangan yang tidak digunakan mahupun rosak. Justeru itu, barang pertukaran seperti minyak masak, beras seberat 5 kg, hamper makanan, biskut, dan berus gigi turut diberikan kepada pengunjung yang menyerahkan barangan seperti kertas, tin, plastik serta barangan elektrik dan elektronik yang hendak dikitar semula. Syarikat tempatan yang bekerjasama dan terlibat dalam pengendalian aktiviti ini ialah Eye 1 Recycle (Miri) Sdn. Bhd. yang berperanan mengumpul dan menimbang barangan yang telah diasingkan dan dihimpun.

Program ini turut menerima kunjungan hormat oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YBM. Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji, yang turut menyempurnakan perasmian program ini. Ketika berucap, beliau berpesan, ‘Bagi memenuhi hasrat ini, sudah tentu pengetahuan serta budaya cinta akan flora dan fauna perlu diterapkan dalam msayarakat. Apabila sikap ini menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat, maka usaha untuk memelihara dan memulihara hidupan dan alam sekitar dari peringkat akar umbi akan menjadi lebih mudah dan dapat disebarluaskan”.

Dr. Suziana Hassan, penasihat program, menambah, “Saya amat berharap agar program kami dapat memberi kesan positif terhadap usaha memelihara dan memulihara alam sekitar kerana ianya tidak dapat diganti dengan wang ringgit”.





Date of Input: 19/02/2019 | Updated: 20/02/2019 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdSAz~