PROGRAM DASAR PANDANG KE TIMUR (JEPUN) TINGKATKAN KESEDARAN DAN JATIDIRI PELAJAR UPM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » PROGRAM DASAR PANDANG KE TIMUR (JEPUN) TINGKATKAN KESEDARAN DAN JATIDIRI PELAJAR UPM

PROGRAM DASAR PANDANG KE TIMUR (JEPUN) TINGKATKAN KESEDARAN DAN JATIDIRI PELAJAR UPM

Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Kyushu, Jepun, 2-7 September 2019, seramai dua puluh (20) orang pelajar dari Kolej Pendeta Za'ba kampus Serdang dan Kolej Seri Rajang Kampus Bintulu Sarawak UPM telah mendapat pengalaman untuk mendalami dan memperlajari budaya dan kemajuan teknologi Jepun. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya mengikuti kelas asas bahasa Jepun selama dua (2) hari bagi memberi persediaan untuk pelajar berinteraksi dengan masyarakat Jepun di sini.

Pelajar juga dapat berpeluang menaiki keretapi laju Shinkansen yang juga dikenali sebagai “Bullet Train” yang merupakan salah satu teknologi terkenal di Jepun sebagai pengangkutan yang menghubungkan Kagoshima di barat Jepun hingga ke Shin Hakidate di Hokkaido. Pelajar kali ini berpeluang pergi ke bandaraya Fukuoka, Hakata. Perjalanan hanya mengambil masa selama 15 minit dari Stesen Kokura ke Hakata sejauh 67KM dari bandar Kitakyushu. Keretapi Shinkansen telah berusia 54 tahun dan telah menjadi medium pengangkutan utama bagi 5 billion pengguna di Jepun.

Budaya yang sangat berbeza daripada masyarakat Malaysia telah menarik perhatian pelajar dan rata-rata merasa teruja dengan pengalaman baharu antara yang menarik adalah sistem kitar semula, pengasingan sampah yang dipraktikan dari dalam rumah sehinggalah di semua tempat yang dilawati. Budaya sapaan juga diamalkan di sini dan ucapan terima kasih adalah satu kemestian dalam hidup seharian mereka. Pelajar juga belajar menaiki 'escalator' berdiri di sebelah kiri untuk memberi laluan di sebelah kanan. Sumber air di setiap rumah juga sangat bersih dan boleh menjadi minuman tanpa perlu dimasak.

Etika masyarakat Jepun juga sangat tinggi antaranya mereka sangat menekankan disiplin dari segi ketepatan masa ini terbukti dengan jadual pengangkutan awam mereka sangat tepat di mana kurang dari 10 saat dari jadual asal. Di samping itu, masyarakat mereka sering dilihat mengutip sampah yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana kebersihan menjadi keutamaan hidup masyarakat mereka. Bandar besar seperti Fukuoka dan terpencil Kitakyushu sentiasa nampak bersih dan sukar untuk kita melihat sampah sarap di mana-mana tempat. Mereka juga amat menjaga kelestarian alam semula jadi dan membentuk perasaan cinta terhadap alam sekitar sejak di bangku sekolah.

Masyarakat Jepun juga diasuh supaya menyayangi negara mereka dan menerapkan semangat patriotik ini berkekalan sehingga mereka meningkat dewasa. Melalui program ini pelajar juga berpeluang mengikuti bengkel selama dua (2) hari bersama dua puluh (20) orang pelajar Kyutech untuk membuat penyelidikan berkenaan Sustainable Development Goals (SDGs) yang diketua oleh Dr. Takagi. Mereka dibahagikan kepada kumpulan dan diminta untuk memilih salah satu topik daripada matlamat SDGs dengan kaedah ‘brainstorming’ dalam kumpulan dan temubual masyarakat tempatan. Isu yang diketengahkan adalah merangkumi isu global di Malaysia dan Jepun. Kaedah pembelajaran seperti ini sangat praktikal dan boleh memberi impak positif dari segi sumbagan idea-idea bernas pelajar untuk menangani masalah yang dihadapi oleh kedua-dua negara. Disamping itu pelajar kedua-dua negara ini juga mendapat pendedahan awal bekerjasama menghasilkan projek penyelidikan global antarabangsa.

Kesimpulannya apabila melihat kepada pelbagai gejala sosial yang sedang melanda negara, jelas bahawa kita perlu belajar semula daripada masyarakat Jepun demi untuk memper­kukuhkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Perkara pa­ling asas adalah mengukuhkan institusi keluarga sebagai teras masyarakat yang sihat dan stabil kerana ia mampu memerangi gejala sosial dan moral, barulah kita dapat mencapai taraf sebuah negara maju dari segala aspek seperti yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Prof.Madya Dr. Arifin Bin Abdu
Penyelaras Program

Rosidah Binti Basir
Pegawai Perantara Perhubungan
Look-East Mobility Program
UPM & Kyutech
1-15 September 2019

#WeLoveUPM












Date of Input: 11/09/2019 | Updated: 11/09/2019 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

P.O Box 396, Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086338948
C1568725144