Pertanian Kerjaya Berpotensi Menjana Kekayaan | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » Pertanian kerjaya berpotensi menjana kekayaan

Pertanian kerjaya berpotensi menjana kekayaan

BINTULU: Masyarakat perlu melihat bidang pertanian secara positif sebagai kerjaya berpotensi menjana kekayaan dan menjamin keselamatan makanan negara.

Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) Sarawak Datu Ik Pahon Joyik berkata mereka harus mengetepikan tanggapan pertanian sebagai jijik, kotor, tidak mempunyai kelas tinggi dan hanya untuk golongan miskin.

Katanya, tiada makna hanya melahirkan ramai doktor, jurutera dan akauntan sekiranya negeri dan negara masih kurang bekalan beras atau nasi untuk dimakan, tiada bekalan daging, ayam, ikan, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya.

“Manusia tidak dapat hidup dengan makan bangunan, makan jentera atau makan traktor,” katanya ketika merasmikan Hari Terbuka Taman Pertanian Universiti (TPU), Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu pada Sabtu lalu.

Justeru katanya, MANRED amat menghargai semua usaha dan sumbangan diberi dalam memajukan bidang pertanian di negeri ini supaya bekalan makanan mencukupi untuk keperluan penduduk.

Beliau berkata, idea mengadakan program mirip mini AGROFEST atau pameran mini Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) terutama bagi tidak dapat menghadiri AGROFEST di Kuching atau MAHA di Serdang, Selangor maka Hari Terbuka TPU UPM Kampus Bintulu julung kali diadakan merupakan peluang terbaik untuk berkunjung menikmatinya.

Katanya, pengurusan dan warga UPM Kampus Bintulu perlu mengambil peluang memasyarakatkan UPMKB, berkongsi teknologi pertanian terkini dengan memperkenalkan kemudahan pertanian dan hasil pertanian kepada masyarakat serta kursus asas pertanian atau kursus jangka pendek kepada petani dan masyarakat.

“Selain itu, mereka boleh membimbing petani sama ada luar bandar atau bandar bertani dengan cara selamat, cekap dan berkesan termasuk berkongsi tenaga pakar.

“Banyak yang kita dapat capai dengan adanya perkongsian kemudahan, maklumat dan ilmu pertanian dua hala di antara institusi pengajian berteraskan pertanian dan petani seperti diamalkan di Thailand, Jepun dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berharap masyarakat memanfaatkan kesempatan mengenali UPM Kampus Bintulu dengan lebih dekat dan kemudahan pertanian, hasil pertanian, kursus, pendidikan pertanian ditawarkan dan tenaga pakar.

“Jika dapat manfaatkan segala kemudahan prasarana dan kemudahan sumber manusia terdapat di UPM Kampus Bintulu untuk memajukan perusahaan pertanian supaya kewujudan universiti ini lebih bermakna,” katanya.

Hari Terbuka TPU UPMKB merupakan langkah pengembangan pertanian di samping mempromosikan UPMKB sebagai sebuah entiti menghasilkan produk segar dari ladang seperti sayur-sayuran, buah-buahan, hasil ternakan unggas, hasil ternakan haiwan ruminan, ternakan ikan, jualan bunga dan sebagainya.

Hadir sama Pengarah UPM Kampus Bintulu Profesor Dr Bujang Kim Huat, pengurusan TPU dan UPM Kampus Bintulu serta tetamu.

kredit kepada Abang Ismail Abang Su’ud (Utusan Borneo Online)

Date of Input: 07/12/2018 | Updated: 07/12/2018 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

P.O Box 396, Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086338948
C1576080144