PERANAN UPM DIIKTIRAF, JADI HAB PENYELIDIKAN HUTAN SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » PERANAN UPM DIIKTIRAF, JADI HAB PENYELIDIKAN HUTAN SARAWAK

PERANAN UPM DIIKTIRAF, JADI HAB PENYELIDIKAN HUTAN SARAWAK

BINTULU, 11 Dis - Peranan dan kemampuan Universiti Putra Malaysia (UPM), yang menjadi antara institusi pengajian tinggi (IPT) utama negara dalam usaha penyelidikan alam sekitar dan perhutanan, diiktiraf menerusi pelantikannya sebagai hab penyelidikan perhutanan di Sarawak.

Naib Canselor UPM Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata pelantikan UPM Kampus Bintulu (UPMKB) sebagai hab itu dan peruntukan dana RM10.95 juta daripada Kerajaan Negeri Sarawak akan memacu lebih banyak aktiviti penyelidikan hutan dilaksanakan oleh universiti itu.

Beliau berkata berbekalkan kepakaran serta teknologi penyelidikan yang ada di Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, lebih banyak kajian dapat dilakukan bagi membantu Jabatan Hutan Sarawak (FDS) termasuk dalam bidang pengurusan hutan, penyakit tumbuhan serta biodiversiti di hutan hujan negeri itu.

“Pengumuman dana ini adalah bukti dan sokongan Kerajaan Negeri Sarawak dalam pembangunan penyelidikan perhutanan di negeri itu. Ini semestinya menjadi khabar gembira buat semua penyelidik kami yang aktif melakukan penyelidikan.

“Di UPM, kita sentiasa berkongsi hasil penyelidikan dan di Sarawak, kita mempunyai kerjasama erat dengan FDS serta agensi lain agar hasil kajian dapat diguna pakai dan dilaksanakan untuk pengurusan hutan terutama dalam usaha pemuliharaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dana itu akan terus mendayaupayakan kemampuan UPM dalam penyelidikan seterusnya membantu kerajaan negeri dan agensi terlibat menyediakan inisiatif serta polisi yang lebih holistik dalam sektor perhutanan.

Katanya selain sokongan kerajaan negeri, UPM mengajak lebih banyak agensi lain dan syarikat korporat menjalinkan kerjasama dengan universiti itu yang akan membuka lebih banyak ruang dalam perkembangan penyelidikan hutan.

Antara projek penyelidikan perhutanan UPMKB ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Tiga Pihak antara UPM, Sime Darby Plantation dan FDS, kajian tanah tinggi Payeh Maga di Lawas, ekspedisi pengumpulan data flora dan fauna di Taman Negara Bukit Kana (Bintulu), pelan pengurusan Gunung Pueh,(Lundu) dan dataran tinggi Usun Apau (Belaga) serta penyelidikan di Taman Negara Similajau (Bintulu).

UPMKB turut dijadikan Hab Penyelidikan Etnik Borneo melalui penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak serta mempergiat Program Penanaman Pokok di negeri itu.

Pada perasmian Persidangan Antarabangsa Pengurusan Sumber Hutan 2021 di sini semalam, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan itu kepada UPMKB sebagai usaha meningkatkan aktiviti penyelidikan yang relevan dalam bidang pengurusan hutan.

Abang Johari berkata usaha itu adalah komitmen kerajaan negeri yang sejajar dengan hasrat dan matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030 selain mengekalkan kelestarian ekosistem hutan hujannya yang penuh dengan kepelbagaian biodiversiti. - BERNAMA

 

 

Date of Input: 13/12/2021 | Updated: 13/04/2022 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdRAB~