KEKALKAN KECEMERLANGAN, MANTAPKAN BUDAYA KERJA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » KEKALKAN KECEMERLANGAN, MANTAPKAN BUDAYA KERJA

KEKALKAN KECEMERLANGAN, MANTAPKAN BUDAYA KERJA

SERDANG, 15 Feb: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris mahu warga UPM mengekalkan kecemerlangan dan kewibawaan yang telah dikecapi oleh universiti dengan memantapkan lagi budaya kerja berkualiti tinggi, autonomi bertanggungjawab, semangat berkolaborasi dan strategi pengantarabangsaan.

Katanya, sejak menggalas amanah sebagai Naib Canselor pada Januari 2016, beliau amat berbangga dengan pencapaian UPM yang disifatkannya sebagai amat menyeluruh daripada penarafan ranking dunia sehinggalah kepada sumbangan bermakna kepada komuniti, industri dan negara.

“Pencapaian UPM ini tidak datang bergolek tetapi bersandarkan kesungguhan, dedikasi dan penghayatan ihsan yang tinggi dalam kalangan warga universiti. UPM telah mempunyai tradisi kecemerlangannya,” katanya ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2019 di sini, bertemakan “Ihsan: Integriti dan Kewibawaan”.

Sehubungan itu, katanya, pencapaian dan kecemerlangan UPM perlu dipacu ke tahap yang lebih tinggi melalui pelan transformasi yang komprehensif dan menerobos masa hadapan.

Katanya, Pelan Transformasi itu yang sedang diperkemaskan yang merangkumi lima bidang keberhasilan utama, akan menjadi pemangkin kepada usaha melonjakkan UPM ke arah universiti yang lebih cemerlang, relevan, berkesan dan menjadi menjadi universiti pilihan pelajar.

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr Aini berkata, transformasi melibatkan perubahan kepada tindakan, sikap dan keadaan sekeliling yang perlu berlaku dalam keadaan yang sistematik dan melalui cara spesifik fasa perancangan untuk mencapai hasil yang ditetapkan.

Justeru, katanya, kejayaan transformasi UPM memerlukan komitmen penuh dan penglibatan aktif daripada semua warga UPM dan pemegang taruh untuk membina momentum transformasi yang berlanjutan dan memberi kesan yang holistik.

Beliau juga berkata, wacana ihsan, integriti dan kewibawaan sangat kritikal kerana UPM perlu mencari naratif baharu untuk memastikan bahawa pencapaian dan kecemerlangannya benar-benar mempunyai makna dan boleh dibanggakan.

“Dalam usaha kita mengejar kecemerlangan, kita perlu berpegang kepada nilai integriti dan etika kerja yang tinggi. Tidak ada jalan pintas untuk satu kejayaan,” katanya.

Katanya, jika prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti serta tadbir urus yang baik diterapkan dalam amalan kerja harian, ia boleh menjadi asas kukuh kepada kewibawaan institusi yang diyakini, dirujuk dan terus relevan.

“Kita bukan sahaja mahu melihat UPM berada di tahap kecemerlangan, tetapi berwibawa apabila diiktiraf oleh pihak luar dan dirujuk kepakaran warganya,” katanya.

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini juga berkata, para akademik perlu menghasilkan penerbitan yang berkualiti melalui penyelidikan berimpak tinggi yang boleh dijadikan bahan rujukan dalam penerokaan ilmu, bukan sahaja di peringkat serantau malah seluruh dunia.

Beliau berkata, penyelidikan berimpak tinggi bukan hanya akan memberi manfaat kepada akademia tetapi juga kepada masyarakat.

Katanya, peranan UPM tidak lagi boleh berlegar dalam konteks output semata-mata tetapi juga soal kebajikan kerana misi universiti generasi ketiga memberi tumpuan kepada sumbangan universiti dalam konteks pemindahan ilmu dan penciptaan kemewahan negara.

Beliau juga berkata, keberadaan UPM dalam memberikan sumbangan kepada pembangunan dan kesejahteraan negara turut dijayakan oleh UPM Kampus Bintulu (UPMKB).

Sehubungan itu, katanya, dalam usaha memperkasa peranan dan sumbangan UPMKB, penambahbaikan program akademik akan dijayakan secara berperingkat, dengan dua program bacelor iaitu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan akan ditawarkan untuk sesi 2019/2020, selain program Master Teknologi Tenaga Diperbaharui secara kerja kursus.– UPM

Date of Input: 18/02/2019 | Updated: 18/02/2019 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

P.O Box 396, Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086338948
B1566805864