INOVASI PENYELIDIK UPMKB TERUS MENDAPAT PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » INOVASI PENYELIDIK UPMKB TERUS MENDAPAT PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

INOVASI PENYELIDIK UPMKB TERUS MENDAPAT PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

PENYELIDIK Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sekali lagi membuktikan kecemerlangan mereka apabila merangkul pingat emas pada pertandingan inovasi AII American DAVINCI International Innovation and Invention Expo 2021 yang dijalankan secara maya dari 11 hingga 13 Ogos lepas.

Inovasi yang dipertandingkan oleh barisan penyelidik dari UPMKB iaitu Prof Dr Ahmed Osumanu Haruna dan Dr Latifah Omar mengetengahkan penggunaan baja organik yang dihasilkan daripada sisa agropertanian yang terbukti berkesan dalam mempertingkatkan produktiviti tanah dan hasil pertanian.

Penyelidik lain yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada Dr Kevin Muyang Tawie Sulok (Lembaga Lada Hitam (MPB) Kuching, Sarawak), Liza Nuriati Lim Kim Choo dari Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) Sesang, Roban, Saratok, Sarawak, Shajarutulwardah Mohd Yusob dari MARDI Seberang Perai, Pulau Pinang, Rosliza Shamsuddin dari Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Pahang dan Dr Adiza Alhassan Musah dari Management Science University, Kuala Lumpur.

Inovasi yang bertajuk “Healthy Soil for Healthy Food and Life” menggabungkan kajian dan penyelidikan mengenai pembuatan baja berasaskan organik yang diperbuat daripada sisa buangan pertanian seperti sekam padi, hampas sagu, daun nanas, dan sisa haiwan.

AII American DAVINCI International Innovation and Invention Expo 2021 adalah anjuran Southern Utah University, American Innovation and Invention Institute, dan International Alliance of Innovation and Invention Associations disokong oleh Utah STEM Center.

Pameran secara maya ini disertai oleh 125 pereka cipta yang datang dari negara-negara seperti Malaysia, Australia, Filipina, United Kingdom, Taiwan, Kuwait, Poland, Morocco, Mesir, Rusia, Jepun, China, dan Amerika Syarikat serta diadili oleh barisan hakim yang berkaliber dan berwibawa.

Sisa buangan agropertanian ini telah diformulasikan mengikut nisbah tertentu mengikut kaedah saintifik dan terbukti keberkesanan dalam mempertingkatkan kesuburan tanah serta mempertingkatkan hasil lada hitam, nanas, betik, jagung dan padi (tanaman kajian).

Kajian dan penyelidikan keberkesanan baja berasaskan organik ini telah dianalisis dalam beberapa siri eksperimen di makmal sains tanah UPMKB sebelum diuji ke lapangan. Setelah terbukti keberkesanan dalam mempertingkatkan kesuburan tanah, teknologi ini telah dipindahkan kepada komuniti penanam padi yang melibatkan penanam padi di Sarawak dan Pahang.

Penggunaan baja organik menggalakkan peladang agar meminimumkan penggunaan baja kimia secara berlebihan yang didapati telah menimbulkan pelbagai masalah terhadap alam sekitar seperti pencemaran tanah, air, dan udara.

Penggunaan baja kimia berlebihan bukan sahaja telah menyebabkan keasidan tanah, pembebasan gas rumah hijau, dan pertumbuhan alga kesan daripada sisa larut resap baja fosfat dan nitrat, malah menjurus kepada pembaziran kerana pembajaan merupakan input yang mahal dalam kos pengeluaran tanaman. Baja organik yang dihasilkan telah digunakan pada peringkat sebelum dan semasa persediaan penanaman bertujuan untuk menyahtoksik dan menghindar pengikatan fosforus oleh aluminium dan ferum supaya unsur pemakanan tersedia dalam tanah dan dapat diambil oleh tanaman dalam tempoh pertumbuhan sehingga kepada peringkat penuaian.

Sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, air, tanah, dan udara telah menunjukkan tanda pemulihan yang mana air semakin jernih dan udara semakin bebas daripada pengumpulan gas.

Penggunaan baja kimia berlebihan adalah satu daripada faktor yang menyumbang kepada pengumpulan gas di atmosfera dan pencemaran air kesan daripada larut resap baja nitrogen dan fosforus.

Inovasi yang diketengahkan pada All American DAVINCI Expo 2021 bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dengan para petani, pemaju pertanian, peladang estet, dan pihak kilang pembuatan baja untuk menggunakan segala sumber asli yang murah dan mudah didapati dalam pembuatan baja asli.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan sisa buangan daripada penuaian hasil pertanian dan juga sisa pembuatan industri, tetapi juga mengurangkan penggunaan baja kimia secara berlebihan.

 

Date of Input: 23/09/2021 | Updated: 23/09/2021 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
BUKYDA6:03:46