Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian @UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» PENGEMBANGAN » Pemindahan Teknologi » Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian @UPMKB

Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian @UPMKB

PENGENALAN

Bahagian Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (TPU, UPMKB) yang telah ditubuhkan pada 1 Disember 2001 merupakan penggerak utama kursus pertanian dan penternakan jangka pendek (pemindahan teknologi) di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB).

Pusat Pertanian Putra (PPP) yang dahulunya dikenali sebagai Taman Pertanian Universiti (TPU) telah dijenamakan dan distruktur semula bermula 1 November 2021. Selaras dengan Matlamat 4 dalam Pelan Strategik 2021-2025 UPM iaitu memperkasakan pertanian dan ketahanan sekuriti makanan, Pusat Pertanian Putra UPMKB telah melalui penggabungan struktur pengurusan dengan Pusat Pertanian Putra Kampus Serdang bagi tujuan  penyelarasan aktiviti yang lebih cekap dan kebersamaan tindakan. 

Salah satu aktiviti utama PPP adalah menganjurkan kursus pemindahan teknologi dalam bidang pertanian. Pada tahun 2022, 8 daripada 9 kursus yang dianjurkan telah mendapat sambutan yang sangat baik. Justeru itu, pada tahun 2023 ini PPP akan meneruskan usaha penganjuran kursus seumpama ini setelah hampir 2 tahun terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Usaha penganjuran kursus pemindahan teknologi dalam bidang pertanian ini sejajar dengan Objektif 4 dan Strategi 4.5 dalam Pelan Strategik UPMKB 2019 – 2023, di samping menggalakkan perkongsian ilmu dalam bidang pertanian kepada masyarakat luar selaras dengan misi UPM iaitu memberi sumbangan bermakna kepada pembentukan  kemakmuran dan pembangunan negara serta kesejahteraan manusia sejagat  menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

Di antara kursus-kursus anjuran PPP@UPMKB termasuklah kursus pembiakan tanaman buah-buahan popular, kursus penanaman sayur-sayuran secara fertigasi, kursus landskap dan seni taman, kursus orkid dan bonsai, kursus pengurusan tapak semaian/nurseri, kursus penanaman sayur-sayuran di bawah Struktur Pelindung Hujan, kursus pertanian bandaran, kursus penternakan ayam pedaging, kursus penternakan ayam kampung kacukan, kursus penternakan ayam penelur, kursus penternakan itik pedaging, kursus penternakan itik penelur dan kaedah pemprosesan telur masin, kursus penternakan burung puyuh, kursus penternakan kambing, kursus penternakan lembu secara fidlot, kursus penternakan dan penghasilan benih ikan air tawar, kursus penternakan dan penghasilan benih udang galah, kursus pembuatan baja foliar dan baja kompos, kursus penanaman cendawan tiram dan kursus penternakan lebah kelulut.

Menurut Prof. Madya Dr. Amy Halimah Binti Rajaee, Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra UPMKB, kursus ini merupakan satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2023 dalam merealisasikan program University for Society (U4S) atau IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNITY) melalui program pemindahan teknologi pertanian yang berpaksikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti.

Selain mengadakan kursus-kursus di dalam kampus, PPP@UPMKB turut menerima undangan untuk mengadakan kursus pertanian/penternakan jangka pendek di luar kampus seperti di rumah-rumah panjang, di balai raya atau dewan masyarakat, di kebun-kebun peserta dan sebagainya dengan pakej bayaran yang berpatutan. Pusat Pertanian Putra UPMKB turut mendapat galakan dan sokongan daripada Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini agar kursus seumpama ini dapat dikembangkan kepada komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum amnya sejajar dengan cogan kata keramat UPM ‘Berilmu Berbakti’ dengan bayaran yang minimum supaya bidang kepakaran yang dimiliki oleh pegawai akademik dan pegawai bukan akademik UPMKB dapat diserlahkan dan dimanfaatkan sewajarnya.

Muat Turun e-Book Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian Tahun 2024 >>> Klik DISINI atau

Paparan AnyFlip >>> https://anyflip.com/bqgjg/zopu/

 

Sila hubungi jika ada sebarang pertanyaan:

PPP@UPMKB
Pusat Pertanian Putra
Universiti Putra Malaysia  Kampus Bintulu Sarawak
Jalan Nyabau, Peti Surat 396,
97008 Bintulu, Sarawak
No. Tel: 086-855667 (Pejabat)
No. Fax: 086-855283 (Faks)

Kemaskini:: 19/03/2024 [lanz]

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdHA5~