PUTRA BAKTI MEDICULTURE ; PRIHATIN TERHADAP KESIHATAN DAN PERTANIAN KEPADA MASYARAKAT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRA BAKTI MEDICULTURE ; PRIHATIN TERHADAP KESIHATAN DAN PERTANIAN KEPADA MASYARAKAT

PUTRA BAKTI MEDICULTURE ; PRIHATIN TERHADAP KESIHATAN DAN PERTANIAN KEPADA MASYARAKAT

BINTULU 20-21 Mac 2021 – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) Fasa Kedua dalam negara kita sedikit sebanyak dilihat memberi impak kepada kehidupan seharian kita. Keterbatasan untuk kita bebas bergerak dan keadaan yang mengkehendaki kita untuk kekal duduk di rumah dilihat memberi kesan kepada kesihatan psikologi masyarakat. Namun senario ini juga secara tidak langsung memberi sinar baharu apabila arah aliran (trend) pertanian bandar atau berkebun di rumah semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Melihat kepada perkara ini pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2), Semester Kedua Sesi Akademik 2020/2021, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Project Youth Leadership & Entrepreneurship (YLE): UPMKB - TEGAS Smart Partnership telah menganjurkan program Putra Bakti Mediculture. Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kebaikan berkebun sebagai terapi, kaedah penjagaan dan kaedah penanaman yang betul dan bersesuaian selaras dengan teknologi pertanian masa kini. Program ini juga turut menyentuh aspek dan isu berkaitan kesihatan awam seperti penyakit Rabies, keunikan anak-anak Autisme dan pemasalahan dalam keluarga toksik. Bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuatkuasa dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, program ini telah dilaksanakan melalui kaedah alternatif iaitu secara atas talian (webinar).

Pengarah Program Muhammad Ilham bin Jaidin berkata, pendidikan kesihatan dan pertanian menjadi fokus utama dalam program ini. Ujarnya lagi, pengenalan tentang teknologi pertanian iaitu kaedah penanaman tanpa tanah dan juga pendedahan kepada jenis – jenis penyakit berkaitan tanaman dilihat mampu menarik minat masyarakat untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian selain boleh dijadikan sebagai aktiviti terapi untuk minda dan rohani. Beliau berharap segala ilmu yang dikongsikan sepanjang program ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Program yang telah dilaksanakan pada 20 – 21 Mac 2021 yang lalu merangkumi 6 slot seminar yang menampilkan penceramah berpengalaman dari pelbagai bidang seperti  Risalah Rabies! Penasaran? - Dr. Naziah Muntil (Ketua Bahagian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Bahagian Bintulu), I am Unique – Cik Asma Fatimah Rasli, (Ahli Terapi Pertuturan, Hospital Univeristi Kebangsaan Malaysia), Sempurna Belum Tentu Bahagia - Dr. Yasmin Binti Yaccob (Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB), 3 in 1 Agriculture - Dr. Shiamala Devi (Pensyarah kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB), Berkebun Terapi Minda - Dr. Ismawati Binti Sharkawi (Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB), dan Penyakit Tanaman Mari Kita Lihat - Dr. Kwan Yee Min (Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB).

Dalam pada itu, Penasihat Program merangkap Fasilitator Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2), Ts. Dr. Suhaili Mustafa berkata, penganjuran program seperti ini sangat memberikan impak yang berkesan kepada pelajar bagi memantapkan Kemahiran Insaniah mereka seperti kemahiran kerja berkumpulan, kemahiran komunikasi, kemahiran kepimpinan, nilai etika dan sebagainya. Kemahiran seperti ini amat penting untuk para pelajar dalam menempuh alam pekerjaan nanti dan hanya boleh diperoleh melalui penganjuran program seperti ini dan bukan dalam kelas semata – mata. Beliau turut menekankan pengelolaan program menggunakan platform webinar seperti ini sangat baik dan memberi impak yang efektif dalam menyampaikan maklumat dan kesedaran kepada masyarat kerana jaringan peserta akan lebih meluas. Hal ini dapat dilihat dengan jumlah capaian akumulatif 650 orang peserta untuk keenam-enam seminar yang mana kesemuanya dari pelbagai daerah dan negeri yang berbeza.

Gambar 1: Poster Program

Gambar 2: Situasi Rabies di Sarawak

Gambar 3: I am Unique

Gambar 4: Sempurna Belum Tentu Bahagia

Gambar 5: 3 In 1 Agriculture

Gambar 6: Berkebun Terapi Minda

Gambar 7: Penyakit Tanaman Mari Kita Lihat

Gambar 8: Barisan Jawatankuasa Pengelola Program

 

Updated:: 24/03/2021 [lanz]

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
BUJULA7:11:08