UPMKB MENANG PINGAT EMAS PADA ITEX2020 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » UPMKB MENANG PINGAT EMAS PADA ITEX2020

UPMKB MENANG PINGAT EMAS PADA ITEX2020

PARA penyelidik dari UPM Kampus Bintulu (UPMKB) cawangan Sarawak telah memenangi pingat emas pada pameran inovasi dan reka cipta anjuran International Invention, Innovation, and Technology Exhibition (ITEX) Ke-32 yang berlangsung secara maya dari 20 hingga 21 November 2020 dalam kategori Pertanian.

Inovasi yang dipertandingkan oleh barisan penyelidik UPMKB pada ITEX2020 bertajuk ‘Organic amendment: A promising approach for high crop yield and soil health restoration’ menekankan pemulihan kesuburan tanah melalui penggunaan baja asli adalah di bawah pimpinan Prof Dr Ahmed Osumanu Haruna sebagai Ketua Penyelidik (IEB, UPMKB) serta Penyelidik Bersama iaitu Dr Latifah Omar (IEB, UPMKB), Dr Ch’ng Huck Ywih (Faculty of Agro-based Industry (FIAT) Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli, Dr Maru Ali (University of Ghana, Legon), Dr Adiza AL Hassan Musah (Department of Business Management and Law, Faculty of Business Management and Professional Studies, Management and Science University, Shah Alam), Dr Palanivell Perumal (PPB Oil Palm Berhad, Sandakan, Sabah), Encik Ng Ji Feng dan Puan Tracy Saptu (UPMKB).

Pembentangan mengenai inovasi (produk) iaitu baja asli padapertandinganITEX2020 telah dijalankan secara maya melalui rakaman video berdurasi sembilan minit. Kandungan video merangkumi tujuan pembangunan inovasi, fungsi inovasi dalam membantu meningkatkan pendapatan petani melalui hasil tanaman yang tinggi disebabkan oleh tanah yang subur, ciri inovatif produk, pengguna sasaran, kebolehpasaran produk, kos pembuatan produk, potensi untuk pengkomersilan, kesan terhadap alam sekitar, dan akhir sekali keunikan dan keistimewaan produk.

Tujuan inovasi yang diketengahkan ialah untuk mempertingkatkan kesuburan tanah melalui proses rejuvenasi tanah bagi memelihara kesuburan tanah. Tanah yang subur adalah tanah yang hidup yang mana boleh menampung berbagai bentuk kehidupan termasuk sebagai media bagi pertumbuhan dan pembentukan tanaman. Fungsi tanah sebagai media sahaja tidak menjamin hasil pertanian yang tinggi sebab secara semula jadi tanah tidak mengandungi unsur pemakanan yang mencukupi bagi menyokong pertumbuhan tanaman daripada percambahan sehingga kepada peringkat penuaian.

Tanah di Malaysia mempunyai pH yang rendah dan dikategorikan sebagai tanah berasid yang hanya sesuai bagi sesetengah tanaman sahaja seperti nanas dan rumbia (sagu). Sifat tanah yang berasid merencat pertumbuhan kebanyakan tanaman makanan dan menyekat pergerakan

PELIHARA TANAH: unsur pemakanan dalam tanah disebabkan oleh kehadiran unsur seperti aluminium dan ferum yang mengikat fosforus menjadikan fosforus tidak tersedia di dalam tanah. Tambahan pula, kekurangan bahan organik serta unsur utama seperti nitrogen, fosforus, dan kalium dalam tanah tidak menjamin pulangan hasil pertanian yang lumayan. Oleh sebab itu, ramai petani menggunakan baja kimia dalam kuantiti yang banyak bertujuan untuk melipatgandakan hasil pertanian.

Pendekatan dalam inovasi yang dipertandingkan menggalakkan peladang agar meminimumkan penggunaan baja kimia secara berlebihan yang didapati telah menimbulkan pelbagai masalah tehadap alam sekitar seperti pencemaran tanah, air, dan udara. Penggunaan baja kimia berlebihan bukan sahaja telah menyebabkan keasidan tanah, pembebasan gas rumah hijau, dan pertumbuhan alga kesan daripada sisa larut resap baja fosfat dan nitrat, malah penggunaan baja kimia secara berlebihan adalah pembaziran kerana pembajaan merupakan input yang mahal dalam kos pengeluaran tanaman.

Baja asli yang dihasilkan oleh para penyelidik UPMKB diformulasi mengikut nisbah tertentu dan diuji secara saintifik dari segi perlepasan unsur pemakanan tanaman. Baja asli yang dihasilkan mengambil kira penggunaan bahan yang mempunyai kandungan nitrogen dan karbon yang tinggi yang mana apabila bertindak balas dan stabil dalam tempoh tertentu bergantung kepada bahan dan teknik pembuatan akan menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dari segi ciri-ciri agronomi.

Perbandingan dari segi keberkesanan baja asli dan baja kimia dalam mempertingkatkan hasil tanaman seperti tanaman sayuran berdaun, jagung, padi, sogum, dan betik telah memperlihatkan kebolehan baja asli sebagai pengganti ataupun pelengkap kepada baja kimia. Inovasi yang dihasilkan baja asli digunakan pada peringkat sebelum dan semasa persediaan penanaman bertujuan untuk menyahtoksik dan menghindar pengikatan fosforus oleh aluminium dan ferum supaya unsur pemakanan tersedia dalam tanah dan dapat diambil oleh tanaman dalam tempoh pertumbuhan sehingga kepada peringkat penuaian.

Inovasi yang kami ketengahkan terbukti telah membekalkan unsur pemakanan tumbuhan yang seimbang iaitu nitrogen, fosforus, dan kalium bagi pertumbuhan padi (tanaman kajian). Sehubungan dengan itu, menurut penanam padi di Pekan, Pahang, pendapatan daripada hasil tuaian padi menggunakan baja asli yang diepertandingkan dalam ITEX2020 telah meningkatkan pendapatan mereka daripada RM2,000 kepada RM5,000, mengekalkan kesuburan tanah bagi musim penanaman berikutnya dan mengurangkan kekerapan pembajaan disebabkan pembajaan telah dilakukan sebelum penanaman.

Kos pembuatan baja asli dihasilkan adalah tidak mahal dan mampu dihasilkan sendiri oleh para petani. Hal ini disebabkan bahan yang digunakan dalam pembuatan baja asli adalah daripada sisa pertanian, proses penuaian serta sisa daripada pemprosesan seperti minyak kelapa sawit. Daripada aspek ekonomi, penggunaan baja asli adalah jauh lebih murah berbanding baja kimia disebabkan kos pembuatan yang murah dan menggunakan bahan buangan. Adiza Al Hassan Musah dari Deparment of Business Management and Law Faculty di Business Management and Professional Studies Management and Science University, Shah Alam selaku penyelidik yang bertanggungjawab daripada aspek pengurusan, kos pengeluaran dan ekonomi, menegaskan impak sosioekonomi daripada baja asli adalah jauh lebih signifikan berbanding baja kimia yang sedia ada yang sering diamalkan oleh petani padi bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi mereka.

Walaupun inovasi penggunaan baja asli yang dihasilkan oleh para penyelidik UPMKB telah diketengahkan dan memenangi anugerah dalam beberapa pameran dan pertandingan sebelum ITEX2020, namun pembuatan baja asli telah dipelbagaikan daripada segi bahan yang digunakan, proses dan teknik pembuatan serta penekanan kepada unsur pemakanan tumbuhan yang berbeza. Keunikan inovasi dalam pembuatan baja asli yang diketengahkan adalah menggabungkan bahan yang tinggi kandungan karbon dan nitrogen yang bertindak balas melalui pelbagai proses sehingga stabil dan menghasilkan baja asli yang berkualiti tinggi dan sesuai dijadikan sebagai baja.

Selaras dengan tema hari tanah sedunia yang disambut setiap tahun pada 5 Disember, dengan tema tahun ini ‘Keep soil alive, protect soil biodiversity’, yang menggalakkan tanah hidup dengan melindungi kepelbagaian hidupan dalam tanah, baja asli daripada inovasi yang dipertandingkan dalam ITEX2020 terbukti menggalakkan kepelbagaian hidupan dalam tanah dengan membekalkan bahan organik kepada hidupan dalam tanah bagi kelangsungan hidup dan rantaian makanan dan lebih penting lagi memastikan tanah agar kekal hidup.

Dalam minda kebanyakan pengguna baja, semakin banyak baja digunakan semakin tinggi hasil pertanian terbukti salah kerana amalan sebegini bukan sahaja merugikan dari segi kos pembajaan tetapi juga mencemarkan tanah, air dan udara. Dalam saat yang getir akibat pandemik COVID19, sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, air, tanah, dan udara telah menunjukkan tanda pemulihan yang mana air semakin jernih dan udara semakin bebas daripada pengumpulan gas. Penggunaan baja kimia berlebihan adalah satu daripada faktor yang menyumbang kepada pengumpulan gas di atmosfera dan pencemaran air kesan daripada larut resap baja nitrogen dan fosforus.

Penglibatan dalam ITEX2020 adalah percubaan untuk menggalakkan lebih ramai petani menggunakan baja asli bagi memastikan pertanian mampan tanpa menjejaskan kualiti alam sekitar. Sasaran juga adalah kepada pihak berkepentingan yang terlibat dalam industri pembuatan baja supaya memperkasakan pembuatan dan penjualan baja asli. Penemuan dan kaedah pembuatan baja asli oleh penyelidik UPMKB telah dipatenkan dan dianugerah hak cipta oleh kerajaan Malaysia, Republik Indonesia, Filipina, Thailand, dan Amerika Syarikat.

Dalam pertandingan yang berprestij seperti ITEX, para penyelidik UPMKB ingin mengorak langkah lebih ke hadapan dalam memperkasakan pertanian berasaskan baja asli. ITEX2020 yang merupakan peneraju Asia dalam pameran reka cipta, inovasi dan teknologi menarik penyertaan daripada pelbagai negara seperti Australia, Kanada, China, Croatia, Hong Kong, Indonesia, Iran, Poland, Qatar, Romania, Taiwan, Thailand, Turki, Ukraine, dan Vietnam. PenyertaanpadaITEX2020 terdiri daripada golongan penyelidik, pelabur, kapitalis, pengeluar, usahawan, pengedar dan sektor korporat yang secara khusus ingin meneroka reka cipta, penemuan, dan usaha perniagaan baharu.

ITEX menyediakan prasarana bagi penemuan prototaip atau produk serta mendapatkan maklum balas daripada pelabur dan kesesuaian untuk pengkomersilan. ITEX2020 telah membina budaya cemerlang yang terkenal dalam pengiktirafan anugerah yang berprestij tinggi dan menarik penyertaan dari dalam dan luar negara yang mencatat sebanyak 500 penyertaan setiap tahun. Dalam ucapan semasa perasmian ITEX2020, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyatakan dalam keadaan yang tidak diduga, pemikiran ke hadapan seperti kemahiran digital adalah pasport bagi membuka peluang untuk membantu menarik pelaburan, inovasi dan peluang pekerjaan baharu.

Manakala, Penganjur ITEX2020 iaitu Pengasas dan Presiden Academician Emeritus Profesor Tan Sri Datuk Dr Augustine S.H. Ong menyatakan tiada sempadan bagi kreativiti dan kepintaran akal manusia. Dengan kemajuan digital, walaupun belum pernah terjadi sebelumnya, pameran dan pertandingan secara maya adalah relevan bagi mempersembahkan penemuan baharu dan reka cipta untuk masa hadapan. Penglibatan dalam pertandingan berprestij seperti ITEX2020 adalah untuk menjalin kerjasama dengan pihak industri serta komuniti petani dalam pembuatan dan penggunaan baja asli.

Teknologi penggunaan baja berasaskan baja asli ini masih dipergiatkan di Pekan yang mana melibatkan peladang di bawah penyeliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA). Inovasi dalam pembuatan baja asli bukan sahaja berasaskan bahan daripada sisa pertanian tetapi juga menggunakan sisa daripada perindustrian. Kolaboratif dalam pembuatan baja asli daripada sisa industri dengan pihak industri seperti Pertama Ferroalloys Sdn Bhd, Humibox, Luxurious Empire Sdn Bhd, Sarmag Resources Trading Sdn Bhd, Sarawak Oil Palms Berhad, Ta Ann Plantation Sdn Bhd, FCA Capital Sdn Bhd, Omnia Solution, dan Omya Asia Pasific Sdn Bhd juga masih aktif.

Pemindahan teknologi dalam modifikasi baja asli juga melibatkan jabatan kerajaan seperti Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Lembaga Lada Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak. Inovasi yang diketengahkan dalam ITEX2020 bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dengan para petani dan pihak kilang pembuatan baja untuk menggunakan segala sumber asli yang murah dan mudah didapati dalam pembuatan baja asli.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan sisa buangan daripada penuaian hasil pertanian dan juga sisa pembuatan industri, tetapi juga mengurangkan penggunaan baja kimia secara berlebihan. Kos baja kimia yang mahal dan kesan keburukan daripada penggunaan baja kimia terhadap alam sekitar adalah faktor yang perlu dipertimbangkan dan memberikan kelebihan kepada penggunaan baja asli. Baja asli tidak melepaskan unsur pemakanan tumbuhan secara cepat tetapi melepaskan unsur pemakanan tumbuhan secara perlahan sepanjang tempoh pertumbuhan tanaman. Kekerapan penggunaan baja dapat dikurangkan.

Penanam padi di Pekan menegaskan keberkesanan penggunaan baja asli berbanding baja kimia apabila padi yang ditanam dalam sawah bendang mereka tidak menunjukkan simptom ketoksikan aluminium dan ferum. Ketika memantau penggunaan baja asli di sawah padi di Pekan, Ahmed Osumanu berkongsi pengetahuan tentang mekanisme pemulihan kesuburan tanah melalui bahan asli yang terdapat dalam baja asli yang mana mampu menyahtoksik aluminium terutamanya pada tanah yang berasid.

Walaupun penggunaan baja asli bukan sesuatu yang baharu, pendekatan saintifik dalam menentukan perlepasan unsur pemakanan tumbuhan, percubaan dalam mempertingkatkan hasil berbagai jenis tanaman makanan (tanaman kajian), dan keupayaan baja asli dari segi ekonomi dalam beberapa kajian makmal dan lapangan terbukti lebih baik daripada baja kimia yang sedia ada dan membolehkan penggunaan baja asli menjadi suatu inovasi dalam proses pemulihan kesuburan tanah. — (Artikel ini disediakan oleh Dr Latifah Omar, Pensyarah Kanan/Penyelidik Bersekutu Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB).

 

Tarikh Input: 09/12/2020 | Kemaskini: 08/01/2021 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcVAA~