UPMKB JAYAKAN SAMBUTAN HASN BERSAMA JAS DAN PETRONAS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » UPMKB JAYAKAN SAMBUTAN HASN BERSAMA JAS DAN PETRONAS

UPMKB JAYAKAN SAMBUTAN HASN BERSAMA JAS DAN PETRONAS

DEMI ALAM: Sekitar Program Penghijauan 1 RAS 1 Pokok dan Pemuliharaan Ekosistem Tebingan Sungai pada 30 November lalu di Hutan Nirwana UPMKB.


UNIVERSITI Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Bintulu dan Petronas Carigali Sdn Bhd telah menganjurkan Program Penghijauan 1 RAS 1 Pokok dan Pemuliharaan Ekosistem Tebingan Sungai 0812 sempena Hari Alam Sekitar Negara ( HASN) 2022 pada 30 November 2022 di Hutan Nirwana UPMKB.

Program pemuliharaan tebingan sungai ini berupaya memberi manfaat kepada alam sekitar seperti mencegah hakisan tanah, mengurangkan hasil bahan pencemaran ke dalam sungai, menyediakan makanan untuk hidupan akuatik dan tempat habitat bagi sesetengah spesies hidupan liar.

Perubahan tebingan sungai akibat perubahan iklim tempatan contohnya hujan, suhu dan sejatan boleh menyebabkan pengubahsuaian yang ketara dalam kawasan tadahan air.

Ekosistem tebingan sungai yang merosot di sepanjang sungai antara punca utama sungai-sungai gagal mencapai status ekologi yang baik.

Pemuliharaan tebingan sungai mungkin merangkumi pelbagai mitigasi yang bertujuan untuk mempertingkatkan fungsi semula jadi sungai yang mungkin telah hilang atau merosot disebabkan oleh manusia.

Justeru penganjuran program ini diharap menyumbang kepada pengurusan risiko banjir dengan menyokong kapasiti semula jadi sungai untuk mengawal serta mengekalkan aliran air.

Pemuliharaan dataran banjir dan tebingan sungai bakal menyediakan habitat akuatik, koridor hutan riparian asli dan mewujudkan habitat sungai yang sihat.

Tambahan pula, ia membantu untuk mengekal dan melepaskan aliran air tanah secara perlahan serta memudahkan pengecasan semula air bawah tanah serta meningkatkan kualiti air sungai.

Ekosistem pemuliharaan tebingan sungai boleh menyumbang untuk memperbaiki hidrologi melalui pengurangan hakisan tanah, meningkatkan saluran aliran air dan membantu dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

Selain itu, tebingan sungai boleh membantu mengekalkan fungsi ekosistem muara dan delta dan mewujudkan hutan semula jadi yang bertindak sebagai penampan ribut dengan itu melindungi orang ramai dan harta benda daripada kerosakan banjir, juga berkaitan dengan kenaikan paras laut dan ribut yang ekstrem.

Tebingan sungai adalah habitat yang penting dan sensitif. Maka melalui program ini juga meningkatkan teduhan sungai dan oleh itu, menambah baik habitat hidupan liar, meningkatkan biodiversiti dan secara tidak langsung membantu mengurangkan haba di bandar Bintulu.

Selain itu, program ini dapat meningkatkan keseimbangan ekologi, menggalakkan bandaran lestari, meningkatkan nilai estetika hutan dan meningkatkan faedah kesihatan manusia.

Program ini juga menyokong SGD seperti kesihatan dan kesejahteraan yang baik (SDG3), air bersih dan sanitasi (SDG6), bandar dan komuniti mampan (SDG11), tindakan iklim, daya tahan, mitigasi dan penyesuaian (SDG13) dan biodiversiti daratan (SDG15).

Antara objektif program pemulihan tebing sungai ialah untuk menggalakkan pemulihan segera tebingan sungai yang merosot dan berfungsi kembali sebagai ekosistem semula jadi dengan menggalakkan ekosistem yang sihat, mengurangkan perubahan iklim dan menyediakan habitat semula jadi kepada flora dan fauna.

Selain itu, untuk meningkatkan kesedaran dan menyatakan keprihatinan terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menanam dan menyelamatkan pokok bagi memelihara ekosistem tebingan sungai.

Seterusnya menggalakkan penglibatan atau kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta dengan institusi pendidikan tinggi bagi memupuk sikap menghijaukan alam sekitar dan menjaga pokok di seluruh peringkat negeri dan persekutuan.

Ia juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas Carigali yang menaja sepenuhnya program ini kepada masyarakat di Bintulu.

Pemilihan spesies pokok yang betul dan berupaya untuk tumbuh berhampiran sungai adalah penting bagi memastikan kemandirian dan kejayaan tumbesaran secara semula jadi.

Pokok sungai yang terbaik biasanya adalah spesies asli yang mempunyai sistem akar yang baik, boleh menahan banjir dan tempoh kelembapan berterusan, menyediakan habitat hidupan liar yang baik dan juga buah-buahan untuk spesies hidupan akuatik.

Sebanyak 200 anak pokok dua spesies tempatan iaitu engkabang jantung (Shorea macrophylla) dan pelajau (Pentaspadon motleyi) telah ditanam pada program ini.

Tarikh Input: 15/12/2022 | Kemaskini: 15/12/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEQPAF~