UPM KAMPUS BINTULU DIJADIKAN HAB PENYELIDIKAN HUTAN SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » UPM KAMPUS BINTULU DIJADIKAN HAB PENYELIDIKAN HUTAN SARAWAK

UPM KAMPUS BINTULU DIJADIKAN HAB PENYELIDIKAN HUTAN SARAWAK

BINTULU: Kerajaan Negeri Sarawak telah melantik Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu sebagai Hab Penyelidikan Hutan di Sarawak menerusi kerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata sebanyak RM10.95 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi melaksanakan kerjasama tersebut yang dibahagikan kepada tiga fasa.

Jelasnya, fasa pertama kerjasama tersebut memerlukan dana berjumlah RM4.15 juta manakala bagi fasa kedua dan ketiga memerlukan dana sebanyak RM6.8 juta.

“Melalui kerjasama ini, kita dapat membentuk keupayaan dan kemahiran secara mampan, membolehkan penyelidik melaksanakan kajian topik berkaitan yang diperlukan dalam bidang pengurusan sumber hutan.

“Kekurangan kapasiti penyelidikan ditambah kekurangan tenaga kerja berkelayakan dan berkemahiran tinggi akan merencatkan usaha kita dalam menangani dan menyelesaikan isu pengurusan sumber hutan,” katanya berucap demikian semasa merasmikan International Conference On Forest Resources Management bertemakan ‘Integrating Knowledge For Improvement’ di Promenade Hotel Bintulu pada Jumaat.

Menurutnya, di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030, sektor perhutanan di Sarawak meletakkan visi untuk dikenali di seluruh dunia dalam pengurusan pemuliharaan biodiversiti dan hutan tropika secara mampan sambil meningkatkan perkembangan industri pembalakan dengan pantas.

Jelasnya, amalan pengurusan hutan akan memfokuskan dalam mengimbangi kadar penebangan hutan dan pembangunan, meningkatkan jumlah produk serta meningkatkan perkhidmatan diperolehi dari hutan.

“Inisiatif ini termasuk memulihkan 200,000 hektar kawasan hutan yang merosot, pensijilan 4.5 juta hektar kawasan lesen hutan jangka panjang menjelang 2022 dan penanaman 178,000 hektar hutan menjelang 2025 di bawah Malaysia Timber Certification Scheme dan Forest Stewardship Council.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana pembangunan berjumlah RM62 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memulihara hutan di Sarawak,” tambahnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga meneroka peluang pendapatan baharu bersumberkan hutan melalui Payment for Ecosystem Services (PES).

Ucap Ketua Menteri lagi, Jabatan Hutan Sarawak tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini untuk memantau sumber hutan Sarawak menggunakan satellite imaging dan reconnaissance, airborne hyperspectral sensing dan LIDAR.

Terdahulu Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata objektif penganjuran persidangan tersebut sebagai platform untuk semua pakar berkongsi pengalaman dan mengurus sumber hutan secara mampan.

Selain itu, persidangan selama dua hari itu juga bertujuan mengumpul data penyelidikan saintifik dan penemuan yang akan membantu mengenal pasti dan memberi keutamaan kepada kawasan fokus penyelidikan dalam aspek pengurusan dan industri.

Menurutnya, persidangan tersebut mempunyai empat sub tema iaitu Forest Restoration And Social Forestry; Forest Governance, Technology and Engineering; Biodiversity Conservation dan Ecosystem Services.

“Kita menerima 45 topik dari sembilan negara iaitu Malaysia, Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jepun, Singapura, Itali dan Filipina dengan 19 pembentangan secara lisan dan 26 secara poster.”

Menurut beliau, Jabatan Hutan Sarawak juga telah memulakan Sustainable Forest Management (SFM) dan Reduced Impact Logging (RIL) untuk sistem operasi penuaian kerana menyedari kepentingan memanfaatkan sumber hutan secara mampan.

Beliau turut memaklumkan projek konservasi yang akan dilaksanakan di sekitar Empangan Hidro Baleh telah dikenal pasti penting sebagai konektiviti untuk hidupan liar.

Katanya, projek kolaborasi antara Jabatan Hutan Sarawak dan WWF-Malaysia, Sarawak Energy Berhad dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu merupakan sebahagian daripada pengurusan kawasan tadahan air bersepadu dalam memaksimumkan ekonomi dan kebajikan sosial tanpa menjejaskan kemampanan ekosistem dan alam sekitar.

Dalam majlis itu, telah diadakan penyerahan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Negeri dan Unimas yang disempurnakan Datu Hamden kepada Timbalan Naib Cancellor UNIMAS (Kajian dan Inovasi), Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim.

Pada sebelah petang, Ketua Menteri telah mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Akademik Pusat, Nurseri Hutan Dan Tapak Projek Pemuliharaan Hutan, UPM Kampus Bintulu.

Beliau kemudiannnya bergerak ke Dewan Persidangan UPM Kampus Bintulu untuk mendengar taklimat disampaikan oleh Naib Cancelor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Hadir sama Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion serta dif-dif kenamaan yang lain. – EDISI UKAS

Tarikh Input: 13/12/2021 | Kemaskini: 04/03/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdQAN~