TPU UPMKB ANJUR KURSUS PEMBIAKAN MUSANG KING | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » TPU UPMKB ANJUR KURSUS PEMBIAKAN MUSANG KING

TPU UPMKB ANJUR KURSUS PEMBIAKAN MUSANG KING

Peserta yang berjaya menamatkan Kursus Pembiakan Durian Musang King (D197) merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur.

BINTULU: Durian D197 atau lebih popular dengan nama Musang King antara durian yang termahal di pasaran dengan menjangkau harga RM40 hingga RM80 sekilogram mengikut gred.

Dikatakan nilai harga durian ini mahal atas sebab kerumitan dari segi penjagaan serta nama komersilnya termasuk mendapat permintaan tinggi daripada penggemar durian.

Melihat kepada potensi besar durian ini dalam pasaran serta lebih banyak ditanam dan dipasarkan di semenanjung maka Taman Pertanian Universiti(TPU) Universiti

Putra Malaysia Kampus Bintulu(UPMKB) mengambil langkah ke hadapan dengan menganjur Kursus Pembiakan Durian Musang King (D197) pada 15 Ogos lalu di universiti  berkenaan.

Pegawai Pertanian Kanan TPU UPMKB merangkap pengerusi penganjurnya Sat Maling berkata, kursus yang diadakan itu menumpukan kepada senario dan potensi durian D197 termasuk morfologi, jenis-jenis klon atau varietinya serta cara pembiakan melalui media penanaman.

Selain itu katanya, cara penanaman, penjagaan, penyelenggaraan selepas penanaman dan kos pengeluaran bagi durian jenis ini turut diberi penekanan.

“Demonstasi cara penanaman, amali pembiakan atau semaian D197 amat penting bagi yang hendak memulakan tanaman durian ini,” ujarnya semasa menyampaikan penerangan kepada peserta kursus itu baru-baru ini.

Difahamkan penjagaannya tidak boleh terlebih atau kurang air dan ketika tanaman itu masih kecil ia tidak boleh terlalu terdedah kepada matahari, perlu diletak jaring sebagai pelindung dan baja akan ditabur pada musim hujan serta memerlukan tujuh hingga 10 hari berterusan tanpa hujan.

Baja yang digunakan perlu bersesuaian serta pengairan cukup tanpa berlebihan untuk kesuburan pokok.

Ia juga memerlukan air yang banyak pada musim kemarau dan baja organik sesuai untuk kesuburannya.

Sementara itu, Pengarah Taman Pertanian Universiti dan Pembangunan (TPUP) UPMKB Profesor Madya Dr Ong Kian Huat berkata, melalui kursus yang diadakan itu kita berharap dapat merealisasikan program ‘University4Society’ yang antara lainnya menyasarkan usaha memperluas dan mengembangkan pelbagai tanaman dalam sektor pertanian kepada orang awam.

“Ini merupakan satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun ini,” katanya sambil berharap para peserta akan mengambil peluang menimba pelbagai ilmu dalam bidang pertanian berkaitan daripada kursus tersebut.

Pada masa sama, Ketua TPU UPMKB Nalong Buda melihat akan usaha pihaknya untuk memenuhi saranan kerajaan bagi meningkatkan lagi industri pertanian di Malaysia terutama di Sarawak.

Katanya, kemahiran petani dengan kaedah dan amalan baik pertanian untuk kebolehlaksanaan projek yang berdaya maju adalah amat penting, sekali gus pemindahan teknologi terkini kepada petani untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil ladang perlu ditekankan.

Jelasnya, para petani atau pekebun juga perlu diterap dengan ciri-ciri keusahawanan supaya mereka mampu menjadi usahawan tani yang berjaya pada masa hadapan.

Menurut Penolong Pendaftar TPUP Dexter Elvin Menari, seramai 48 peserta dari seluruh Sarawak menyertai kursus itu yang membabitkan aktiviti kuliah dan kelas praktikal yang mematuhi Prosedur Operasi Standard dan norma baharu yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Perintah Kawalan Pergeraka Pemulihan (PKPP).

“Penjarakan fizikal dan amalan 3W iaitu ‘wash’, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; ‘wear’, memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala dan warn, amaran daripada KKM yang lebih berkonsep peringatan bagi menghindari pandemik COVID-19,” katanya.

 

Tarikh Input: 24/08/2020 | Kemaskini: 01/10/2020 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETGAk~