SULTAN SELANGOR SEMPURNAKAN ISTIADAT KONVOKESYEN UPM KE-46 JULUNG KALI DIADAKAN DI UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » SULTAN SELANGOR SEMPURNAKAN ISTIADAT KONVOKESYEN UPM KE-46 JULUNG KALI DIADAKAN DI UPMKB

SULTAN SELANGOR SEMPURNAKAN ISTIADAT KONVOKESYEN UPM KE-46 JULUNG KALI DIADAKAN DI UPMKB

BINTULU, 1 November – Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor telah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 bagi sidang satu yang julung kalinya diadakan di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak di sini, pagi tadi.
 
Baginda yang juga Canselor UPM bertitah, sebagai universiti berteraskan pertanian, UPMKB Sarawak boleh menjadi pelopor untuk melahirkan graduan usahawan tani bagi memastikan bekalan industri agromakanan terus sentiasa stabil dan berkembang.
 
“UPMKB mampu melahirkan graduan usahawan tani melalui kurikulum serta sokongan sistem pembelajaran dan pengajaran yang sedia ada sekarang.
 
"Justeru, UPMKB ini boleh dipertingkatkan dari segi kemudahan infrastruktur agar minat pelajar dalam bidang pertanian dapat dipupuk dan dilestarikan," titah baginda.
 
Pada istiadat berkenaan, Sultan Sharafuddin mengucapkan tahniah kepada warga UPM atas kejayaan berada di tangga 123 dalam penarafan QS World University Ranking 2023 dan UPM kini berada pada landasan yang betul untuk tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia menjelang tahun 2025.
 
Dalam majlis yang sama, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada 405 graduan pelbagai program pengajian.
 
Selain itu, Tuanku Canselor juga turut menyampaikan hadiah kepada semua Pemenang Hadiah Universiti iaitu Hadiah Live Animals Medical Centre bagi Graduan Terbaik Ijazah, tajaan Live Animals Medical Centre kepada Aisyah Pratiwi Suryanto Sugian daripada program Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri, UPMKB dan Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi (Graduan Terbaik Diploma), tajaan Puan Sing Sai Hoi kepada Jaime Lazaroo daripada program Diploma Kejuruteraan Pertanian, UPMKB.
 
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi.
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 07/11/2022 | Kemaskini: 07/11/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcTAJ~