Seni Tarian Kembangkan Kognitif Dan Psikomotor Golongan Muda | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » Seni tarian kembangkan kognitif dan psikomotor golongan muda

Seni tarian kembangkan kognitif dan psikomotor golongan muda


BINTULU: Golongan muda terutamanya pelajar universiti perlu diajar seni tarian khususnya tarian tradisonal yang mampu memberi manfaat dan kesan mendalam pada perkembangan kognitif dan psikomotor mereka, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Menurut kajian Kolej Perubatan Albert Einstein di New York City katanya, menari dapat mengurangkan masalah demensia sebanyak 76 peratus dan Pakar neurologi Dr Robert Katzman mengesahkan bahawa dengan melakukan aktiviti menari ianya dapat membantu menambah kepintaran seseorang.

Katanya, kebanyakan kajian yang telah dilakukan berkenaan aktiviti fizikal yang berterusan seperti tarian yang mengambil masa 30 hingga 45 minit selama tiga hingga lima hari seminggu dapat memberi kesan positif kepada obesiti, kecergasan kardiovaskular, tekanan darah, kemurungan, keresahan, psikologi dan prestasi akademik.

Begitupun katanya, yang penting seni tari perlu terus dipelihara untuk kesuburan budaya bangsa dan diminati generasi yang akan datang sekali gus keunikan dan kekayaan budaya yang dipersembah dalam seni tarian menjadi satu penarik kepada orang luar atau pelancong untuk datang melihat sendiri keunikan dan kepelbagaian budaya di negara ini.

Melihat keadaan itu katanya, aktiviti kesenian dan kebudayaan di UPM memainkan peranan penting bukan sahaja untuk membentuk sahsiah dan jati diri pelajar bahkan menyuburkan lagi budaya kesenian bangsa di negara ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Pembukaan Festival Tari Borneo Edisi Ke-7 2018 selama lima hari di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) malam kelmarin.

Festival tari itu disertai oleh delegasi tiga negara dari 13 universiti dan institut pengajian tinggi dari Kepulauan Borneo iaitu dari Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Kepelbagaian budaya yang datang dari setiap pelosok negara mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian sekali gus memberi pemahaman lebih mendalam tentang kebudayaan dari negara lain dan ini dapat memupuk sikap persefahaman serta toleransi yang tinggi dalam kalangan pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata, kelab-kelab kebudayaan UPM sentiasa bergiat aktif sebagai medan manifestasi seni bagi warga kampus menonjolkan bakat di samping membantu mengembang, merakyatkan seni budaya warisan dan membantu melahirkan warga kampus yang berkebolehan, berdaya saing dalam mempertingkatkan pembangunan serta perkembangan mutu seni tersebut.

Menurutnya, acara dwitahunan itu telah bermula sejak tahun 2006 di Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak dengan nama Festival Tari Institut Pengajian Tinggi (IPT) Borneo dan dalam tempoh 12 tahun, festival itu telah menjadi acara prestij bertaraf antarabangsa yang memberi impak kepada universiti-universiti sekitar Borneo sehingga membuka ruang kerjasama dan silaturahim berterusan dalam pelbagai bidang.

Festival itu katanya, ia bertujuan memberi peluang kepada pengiat seni budaya dalam kalangan warga universiti terutamanya kepulauan Borneo bergabung idea, bertukar pendapat, berkarya melalui seni budaya bangsa khususnya tarian agar terus kekal diminati generasi akan datang serta menjadi simbol kesatuan tiga negara nunsantara yang memberi impak kepada universiti-universiti sekitar Kalimantan, Brunei, Sabah dan Sarawak.

“Saya mengharapkan ia akan membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang akademik dan pelbagai bidang lain yang boleh diperluaskan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Bujang Kim Huat berkata, beliau amat kagum dengan usaha yang diambil dengan menyediakan satu platform untuk meraikan kepelbagaian budaya dalam seni tarian yang dipersembahkan oleh para mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi di seluruh Borneo.

Katanya, ia dapat mewujudkan hab pendidikan bertaraf antarabangsa di Borneo dan mewujudkan hubungan untuk mempromosikan kepelbagaian tradisi budaya masyarakatnya.

“Integrasi budaya ini dapat memberi peluang kepada masyarakat umum mengenali kekayaan budaya sejagat, sekali gus memberi sokongan dalam memelihara warisan budaya masyarakat sejak zaman berzaman,” ujarnya dalam ucapan alu-aluan pada majlis itu.

Seiring dengan objektif penganjuran program itu, beliau berharap ia akan memberi peluang kepada pengiat seni budaya peringkat universiti di kepulauan Borneo bergabung, bertukar pendapat, berkreatif dan seterusnya mengembang seni budaya bangsa agar terus kekal diminati generasi akan datang.

Selain itu katanya, penganjurannya juga untuk mengeratkan silaturahim dan membuka ruang kerjasama antara universiti dalam Borneo sekali gus mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pendidikan dan pelancongan yang kaya dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian.

Turut hadir Pengetua Kolej merangkap Ketua Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPMKB Dr Aryaty Alwie yang juga selaku penasihat festival terbabit, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan UPMKB Profesor Madya Dr Shahrul Razid Sarbini, Rektor-Rektor universiti dan kolej, wakil-wakil universiti, universitas dan kolej serta pengurusan dan ketua-ketua jabatan UPMKB.

Tarikh Input: 08/11/2018 | Kemaskini: 08/11/2018 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdVAR~