SCeW 3.0 (ZON SABAH SARAWAK & LABUAN) BERJAYA TARIK PENYERTAAN PELAJAR ANTARABANGSA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » SCeW 3.0 (ZON SABAH SARAWAK & LABUAN) BERJAYA TARIK PENYERTAAN PELAJAR ANTARABANGSA

SCeW 3.0 (ZON SABAH SARAWAK & LABUAN) BERJAYA TARIK PENYERTAAN PELAJAR ANTARABANGSA

UPM KAMPUS BINTULU SARAWAK – Dalam era globalisasi masa kini, wang merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan setiap individu. Memang benar wang bukan segalanya dalam hidup namun, tidak melampau jika dikatakan seluruh manusia di dunia ini memerlukan wang untuk hidup. Untuk itu, adalah penting bagi setiap individu mengurus kewangan masing – masing dengan baik. Sudah banyak kajian dilakukan oleh beberapa pihak dan rata – ratanya menunjukkan masih banyak rakyat Malaysia kurang arif dalam pengurusan kewangan malah golongan yang masih muda juga banyak yang bankrap.

Melihat kepada senario ini, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah merangka satu program yang dinamakan sebagai Program Pengukuhan Kewangan, Siswa Celik Wang (SCeW) dan dianjurkan dengan kerjasama universiti terpilih. Bagi memastikan program ini memberi manfaat kepada mahasiswa di seluruh negara, program ini telah dibahagikan kepada 4 zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur dan Zon Borneo.

Pengelolaan SCeW 3.0 di Zon Borneo (Sabah, Sarawak & Labuan) pada kali ini telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB). Penganjuran pada kali ini dilaksanakan sedikit berbeza berbanding SCeW 2.0 yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Kita amat bertuah kerana telah dipilih sebagai penganjur SCeW 3.0 di Zon Borneo buat kali yang kedua ini. Kalau sebelum ini, tahun 2018 kita laksanakan program secara bersemuka namun pada kali ini kita menggunakan platform secara atas talian melalui aplikasi Webex dan Live Facebook bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)” ujar YBhg. Prof. Madya Dr. Shahrul Razid Bin Sarbini, Pengarah Kampus, UPMKB semasa merasmikan program tersebut.

“Antara objektif utama penganjuran SCeW 3.0 ini adalah untuk memantapkan pengetahuan mahasiswa dalam aspek pengurusan kewangan, pengurusan kredit, aktiviti pembiayaan dan sebagainya. Selain itu, program ini juga turut menyediakan platform bagi mahasiswa berinteraksi dengan pakar – pakar kewangan agar aspek pengurusan kewangan berhemat dapat dijadikan budaya hidup melalui sesi perkongsian dan ceramah” tambah beliau lagi.

Program yang telah dilaksanakan pada 21 November 2020 yang lalu telah berjaya menarik minat hampir 800 orang peserta yang bukan sahaja dari Zon Borneo malah turut menarik minat pelajar dari semenanjung Malaysia dan Luar Negara (Pelajar Antarabangsa = 20 orang; Semenanjung Malaysia = 124 orang; Sarawak = 465 orang; Sabah & Labuan = 175 orang).

Sebanyak 3 slot telah dilaksanakan dalam program kali ini dan telah disampaikan oleh penceramah yang hebat dan pakar dalam bidang masing – masing iaitu Slot 1: Control Your Money or It Will Control You yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Suraya Hanim Mokhtar dari School of Business and Social Sciences, AlBukhary International University, Slot 2: Mahasiswa BMW – Bijak Mengurus Wang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohammad Fazli Sabri dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia dan Slot 3: Menggapai Pelangi disampaikan oleh Pn. Noor Aziera Ezurien A. Aziz dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kuala Lumpur.

Penganjuran program ini dilihat mampu mencapai objektif penganjurannya dan sekaligus memberi impak positif kepada mahasiswa. Program seumpama ini wajar dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan rakyat Malaysia bijak dalam mengurus kewangan.

Ucapan aluan YBhg. Prof. Madya Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Antara Jawatankuasa Pengelola yang terlibat dalam penganjuran SCeW 3.0 pada kali ini


SLOT 1: CONTROL YOU MONEY OR IT WILL CONTROL YOU OLEH PROF. MADYA DR. SURAYA HANIM MOKHTAR

 

SLOT 2: MAHASISWA BMW – BIJAK MENGURUS WANG OLEH PROF. DR. MOHAMMAD FAZLI SABRI

 

SLOT 3: MENGGAPAI PELANGI OLEH PN. NOOR AZIERA EZURIEN A. AZIZ

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 03/12/2020 | Kemaskini: 21/12/2020 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEYDAB~