SARAWAK KOMITED SOKONG DASAR AGROMAKANAN NEGARA 2021-2030 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » SARAWAK KOMITED SOKONG DASAR AGROMAKANAN NEGARA 2021-2030

SARAWAK KOMITED SOKONG DASAR AGROMAKANAN NEGARA 2021-2030

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk menyokong Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (NAP 2.0) untuk mendukung pengurusan cekap dan pemodenan pengeluaran agromakanan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementeriannya juga yakin NAP 2.0 yang dibangunkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) digubal dengan visi untuk membangunkan sektor makanan tani yang mampan, berdaya tahan dan berasaskan teknologi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak, dan mengutamakan keselamatan makanan dan pemakanan.

“Salah satu inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian pada tahun ini adalah dengan penubuhan beberapa Lembaga yang mana salah satunya ialah Lembaga  Kemajuan Sagu dan Nipah (LKSN) pada awal tahun ini.

“Kami berharap ini boleh menjadi sebahagian daripada industri yang boleh kami usahakan pada masa hadapan dan kami juga turut menubuhkan Lembaga Getah,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Kongres Pertanian Mampan Dan Keselamatan Makanan (COSAFS2022) yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Hotel The Waterfront disini pada Rabu.

Dato Sri Dr Stephen Rundi menambah, inisiatif lain yang telah dilakukan ialah projek transformasi padi di Gedong, iaitu AgriHub@Gedong yang telah dicadangkan oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Universiti Swinburne serta mendapat sokongan daripada kementeriannya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat di negeri ini dapat bekerjasama dan memacu sektor pertanian ke arah pertanian moden, cekap dan seterusnya mencapai impian untuk menjadikan Sarawak sebagai Pengeksport Makanan Bersih menjelang 2030.

Antara yang turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Il Martin Ben serta Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit.

 

 

Tarikh Input: 26/09/2022 | Kemaskini: 28/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdGAT~