SARAWAK FOKUS BANGUNKAN GEDONG SEBAGAI KAWASAN PERTANIAN MODEN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » SARAWAK FOKUS BANGUNKAN GEDONG SEBAGAI KAWASAN PERTANIAN MODEN

SARAWAK FOKUS BANGUNKAN GEDONG SEBAGAI KAWASAN PERTANIAN MODEN

Premier Sarawak amanahkan UPM untuk menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran padi Biris dengan pembinaan makmal lapangan di Gedong.
 
“Ini adalah teknologi baru dan kita telah mengenal pasti kawasan makmal lapangan lebih kurang 30 ekar di Lubuk Punggur dengan kerjasama pemilik tanah tersebut."
 
“Ia akan menjadi satu makmal untuk universiti pertanian (Putra) bagi menggunakan teknologi membuat kajian ke atas padi biris,”
 
Ujar YAB Premier Sarawak semasa program lawatan kerja dan pembentangan projek strategik di daerah Gedong pada 21 Januari 2023.


SABTU, 21 JANUARI 2023 - GEDONG: Pembangunan infrastruktur di Gedong bakal memberikan kemudahan untuk membangunkan kawasan kebun-kebun sebagai kawasan pertanian yang moden menggunakan ‘smart agriculture’ iaitu ‘smart farming’ yang mengeluarkan padi. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini telah dilaksanakan oleh Universiti Pertanian Malaysia dan setakat ini mereka menerima kerjasama yang baik daripada para petani. 

“Apa yang perlu ialah kita akan mengubahkan sedikit dari sudut menggunakan kaedah-kaedah teknologi dalam mengeluarkan beras di Lubuk Punggur iaitu beras biris. 

“Saya telah mengarahkan pihak Universiti Pertanian (Malaysia) untuk menggandakan pengeluaran padi dalam masa 18 bulan dan tiga kali tuai. 

“Ia bermakna akan menambahkan hasil beras tersebut dan beras ini mesti kita tambah nilai dari sudut hiliran beras,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Lawatan Kerja Premier Sarawak Ke Daerah Gedong di Tapak Projek di Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong dan Tapak Projek Mini Isthmus Gedong pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, Sarawak boleh mengeluarkan tepung beras biris yang boleh digunakan untuk membuat biskut. 

“Ini adalah teknologi baru dan kita telah mengenal pasti kawasan makmal lapangan lebih kurang 30 ekar di Lubuk Punggur dengan kerjasama pemilik tanah tersebut. 

“Ia akan menjadi satu makmal untuk universiti pertanian bagi menggunakan teknologi membuat kajian ke atas padi biris,” ujarnya. 

Katanya lagi, Sarawak mempunyai kebun padi dan akan menjadi pertanian pintar menggunakan teknologi.

“Ini adalah fokus kepada teknologi kerana kita mahu meningkatkan padi sebagai kursus keselamatan.

“Saya nampak di seluruh Malaysia selain daripada Kedah kebanyakan tempat lain ada kurang sikit, jadi kita boleh menjadi pengeluar beras yang agak besar di Malaysia tetapi kita hendaklah menggunakan teknologi baru dan tidak menggunakan cara lama,” jelasnya. 

Ketika ditanya media adakah padi di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ataupun Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), Premier Sarawak menegaskan padi tersebut adalah milik Sarawak. 

“Bukan RISDA bukan Bernas. Ini kajian kita sendiri dan kajian ini adalah kajian kerajaan Sarawak bersama Universiti Pertanian. 

“Kita mempunyai professor yang mempunyai penyelidikan khas untuk kita dan beras biris tiada di tempat lain, kita sahaja dapat mengeluarkan beras biris dan satu lagi jenama beras iaitu beras bario,” tegasnya. 

Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Ir Aidel Lariwoo, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Wakil Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Datuk Mohd Naroden Majais serta dif-dif kehormat yang lain.

Kredit kepada : EDISI UKAS

 

 

 

Tarikh Input: 25/01/2023 | Kemaskini: 25/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855201
086855888
WWCFFA5:05:37