PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN KAMBING | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN KAMBING

PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN KAMBING


SELESAI: Para peserta bergambar beramai-ramai setelah tamat kursus. SEMANGAT TINGGI: Peserta dari Negeri Sembilan yang berlatarbelakangkan pendidikan bidang kejuruteraan sanggup terbang ke Bintulu untuk menghadiri kursus penternakan kambing anjuran UPMKB.


51 peserta telah menyertai Kursus Penternakan Kambing anjuran Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) di universiti tersebut, baru-baru ini.

Kursus tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan para peserta dari Bintulu, Miri, Sibu, Serian, Kuching, Betong, Bintangor, Sarikei, Matu, Mukah dan Ba’ Kelalan serta dari Semenanjung Malaysia yang membabitkan peserta -peserta dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Kedah.

Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra UPMKB iaitu Dr Zaidi Suif, ketika dihubungi menerangkan penganjuran kursus tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta kursus berkenaan teori berkaitan penternakan, pembiakan, pemakanan dan pengurusan kesihatan ternakan kambing.

Pendedahan secara praktikal pula adalah mengenai sistem perumahan kambing, pembiakan kambing iaitu penjantan dan betina terpilih, ujian libido serta pengekangan kambing, pemotongan kuku dan rawatan kembung perut.

Amali praktikal kursus telah dikendalikan oleh Zaidi sendiri dan Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna yang berpengalaman dalam bidang tersebut dengan dibantu oleh Yngwie Cheng dan Nazri Ali.

Kursus ini turut disampaikan oleh Penolong Pegawai Veterinar Bahagian Bintulu Kiai Lang sebagai panel jemputan khas bagi slot Pengenalan dan Peranan Perkhidmatan Veterinar Bahagian kepada penternak.

Timbalan Pengarah PPP UPMKB, Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee turut menambah bahawa program tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan berharap sesi pemindahan ilmu tersebut dapat melahirkan lebih ramai usahawan ternakan dalam negara.

Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan salah satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program University4Society

melalui Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian dan pengembangan pertanian bersama masyarakat umum.

Pusat Pertanian Putra UPMKB berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain dan ingin merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini kerana sentiasa memberi sokongan dalam penganjuran kursus seperti ini.

Selain itu pihak penganjur turut berterima kasih kepada Noor Irawati Ahamd, Renee Sherna, Josephine Jawai Makos (urus setia), Benedict Miden (jurufoto) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

 

 

Tarikh Input: 19/07/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEYXAg~