PROJEK PENGEMBANGAN PERTANIAN RH. JUNGAN, BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROJEK PENGEMBANGAN PERTANIAN RH. JUNGAN, BINTULU

PROJEK PENGEMBANGAN PERTANIAN RH. JUNGAN, BINTULU

PROJEK PENGEMBANGAN PERTANIAN RH. JUNGAN, BINTULU
 
Pertanian Bandar (Urban Farming)
 
Projek pengembangan pertanian yang bertemakan Pertanian Bandar (Urban Farming) telah dijalankan pada 17 September 2022 (Sabtu) di Rh. Jungan, KM25, Jalan Bintulu-Tatau. Aktiviti bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Objektif projek ini adalah untuk mewujudkan platform perkongsian ilmu tentang kaedah pertanian yang bersesuaian dengan faktor persekitaran dan keperluan komuniti.
 
Projek ini juga melatih para pelajar tentang pelaksanaan program pengembangan pertanian dengan komuniti serta memberi pendedahan kepada komuniti tentang konsep pertanian moden yang mudah. Sebelum memulakan projek tersebut, para pelajar telah membuat lawatan pertama pada 9 Ogos 2022 ke Rh. Jungan untuk sesi suai kenal dengan komuniti Rh. Jungan dan mengetahui masalah serta keperluan mereka dalam bidang pertanian. Projek ini diketuai oleh Dr. Anita selaku pengajar kursus Pengembangan Pertanian.
 
Seramai 40 orang pelajar program Diploma Perniagaantani (DPNT) semester 05 terlibat dan beberapa orang komuniti daripada Rh. Jungan telah bekerjasama menjayakan projek ini dan mereka telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan. Selain itu, projek pertanian bandar yang dilaksanakan adalah bertemakan elemen mesra alam (eco-friendly) di mana tapak pertanian disediakan dengan menggunakan bahan semulajadi seperti buluh dan bahan terbuang seperti botol plastik dan tayar kereta.
 
Antara sayuran yang ditanam adalah seperti sayuran daun (sawi, daun bawang, bayam), terung iban, kacang bendi dan kacang botol. Tapak penanaman sayuran tersebut direka mengikut kreativiti pelajar dan komuniti. Setelah tapak penanaman sayur disiapkan, komuniti Rh. Jungan meneruskan projek tersebut sebagai aktivti harian dan mengubahsuai tapak sayuran mengikut kreativiti masing-masing. Projek ini bukan sahaja sebuah kebun sayur tetapi ia nya boleh menjadi taman atau lanskap untuk mengindahkan kawasan di Rh. Jungan.
 
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pelajar-pelajar DPNT 05 dan komuniti Rh. Jungan atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan untuk menjayakan projek ini. Seterusnya, terima kasih juga kepada En. Nalong Ak. Buda dan En. Dennis Len Bin Gouk, daripada Pusat Pertanian Putra (PPP) kerana telah menyumbangkan idea pelaksanaan pertanian bandar kepada pelajar-pelajar serta membantu mereka dari segi penyediaan peralatan ladang dan bahan tanaman.
 
Projek ini dianjurkan dengan harapan dapat memberi serta mencetuskan idea inovatif kepada masyarakat secara amnya dan para pelajar khasnya untuk mengembangkan skop pemikiran mereka mengenai potensi dalam bidang pertanian.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 26/10/2022 | Kemaskini: 03/11/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEZRA5~