PROJEK ISTHMUS MINI GEDONG BAKAL MENGUBAH LANDSKAP GEDONG: ABANG JOHARI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROJEK ISTHMUS MINI GEDONG BAKAL MENGUBAH LANDSKAP GEDONG: ABANG JOHARI

PROJEK ISTHMUS MINI GEDONG BAKAL MENGUBAH LANDSKAP GEDONG: ABANG JOHARI

Abang Johari menandatangani plak sebagai simbolik Majlis Penyerahan Cek Pampasan bagi Projek Masterplan Mini Isthmus, Gedong sambil disaksikan yang lain


KUCHING: Projek pembangunan Isthmus Mini Gedong bakal mengubah landskap pembangunan di Gedong, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, projek pembangunan itu yang merupakan replika kepada Isthmus Kuching akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

"Ia sebenarnya sama dengan Isthmus di Kuching yang dibangunkan Tun Taib (Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Taib Mahmud) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dan kini kita ada mini Isthmus di Gedong.

"Kawasan ini akan dilengakapi dengan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik selain pejabat-pejabat pentadbiran termasuk pejabat pegawai daerah, institusi latihan tinggi, rumah kuarters pegawai kerajaan negeri dan persekutuan yang dibangunkan menerusi pendekatan baharu iaitu seperti pangsapuri," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan bagi Projek Masterplan Mini Isthmus, Gedong di Dewan Masyarakat Gedong di Gedong, hari ini.

Menurut Abang Johari selari dengan pelaksanaan itu, turut dibangunkan di kawasan berkenaan ialah pusat komersial dan riadah, selain hotel penginapan untuk kemudahan pengunjung ke Gedong.

Katanya, kemudahan penginapan itu diwujudkan kerana menjangkakan ramai dalam kalangan komuniti khasnya pegawai kerajaan, pensyarah termasuk pelajar yang akan menginap di situ.

"Di sini nanti terdapat pelajar iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dari Kampus Bintulu dan Universiti Teknologi Swinburne yang menjalankan kajian ilmiah berkenaan pengeluaran padi di Simunjan dan Gedong.

"Kita juga akan membangunkan kemudahan jalan raya di mana kita akan membina jalan yang menghubungkan Serian dan Gedong sepanjang 19 kilometer iaitu jalan baharu, selain (jalan) sedia ada.

"Pada masa yang sama, membina jalan dari Gedong ke Samarahan sepanjang 74 kilometer. Ini yang akan kita bangunkan dan sudah pasti mengambil masa," jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Ulu Simunjan juga akan dibina satu lagi jalan iaitu Gedong-Samalatong yang bermula hujung tahun ini.

Menurutnya, jalan berkenaan akan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan dan kesemua cadangan pembinaan kemudahan terbabit akan mengubah landskap Gedong dan Simunjan.

Mengulas lanjut beliau berkata, kini ramai dalam kalangan dunia mula mengiktiraf Sarawak sebagai 'Malaysia's economic Powerhouse.'

"Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini mengunjungi kita, menyatakan hasrat untuk melabur di Sarawak.

"Tidak pernah sebelum ini mereka mahu melabur di Sarawak, tetapi kali ini satu pasukan datang untuk mencari peluang melabur," katanya.

Tarikh Input: 13/04/2023 | Kemaskini: 13/04/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdQAK~