PROGRAM PUTRA BAKTI RISING STAR 2022 PUPUK JATI DIRI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM PUTRA BAKTI RISING STAR 2022 PUPUK JATI DIRI

PROGRAM PUTRA BAKTI RISING STAR 2022 PUPUK JATI DIRI

PROGRAM anjuran pelajar kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Kumpulan 5 Sesi Akademik 2022/2023 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) itu yang diadakan di TEGAS Digital Innovation Hub, Bintulu pada 12 hingga 13 November lalu mendapat sambutan 50 pelajar sekolah menengah sekitar Bintulu.

Program Putra Bakti Rising Star 2022 yang diadakan selama dua hari tersebut juga adalah kerjasama strategik UPMKB dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) melalui projek Youth, Leadership & Entrepreneurship (YLE) UPMKB. Program yang julung kali diadakan itu memberi pendedahan yang mendalam kepada peserta mengenai aspek jati diri, kemahiran insaniah, pengurusan mental dan juga perkongsian dalam menangani cabaran remaja masa kini.

Penceramah jemputan Norhakim Ahmad berkata, program ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamat, malah turut disukai para peserta.

“Sepanjang program ini, kita boleh lihat para peserta berasa gembira dan seronok, dan dalam masa yang sama peserta turut belajar dan seterusnya mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari melalui aktiviti-aktiviti yang menarik. Program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemu bual.

Peserta program yang terdiri daripada pelajar Kolej Vokasional Bintulu, SMK Bintulu, SMK Kidurong, SMK Kemena, SMK Bandar Bintulu dan SMK Baru Bintulu itu turut didedahkan dan diberi bimbingan mengenai ilmu pengurusan mental, emosi dan juga tekanan daripada Pensyarah Kanan UPMKB dan juga Kaunselor Berdaftar, Dr Chan Siaw Leng melalui slot “Conquer from Within”.

Program Putra Bakti Rising Star 2022 yang diisi dengan empat slot perkongsian daripada penceramah jemputan dan aktiviti lain yang menekankan aspek komunikasi, kerjasama, pengurusan masa dan tekanan serta kemahiran kreatif dan kritis itu bertujuan untuk menjadikan peserta lebih berketerampilan, berkeyakinan, berani dan cekal dalam menghadapi cabaran.

Penceramah jemputan dan juga Timbalan Pengerusi YLE UPMKB Fakhzan Buang berkata, program yang disertai lebih enam buah sekolah menengah sekitar Bintulu itu dilihat mampu memberi impak positif kepada pelajar dan berpotensi menjadi medium dalam meningkatkan kemahiran insaniah dan mencungkil bakat peserta khususnya pelajar tempatan.

Menurut Ts Dr Suhaili Mustafa pula, program ini berjaya memberi kebaikan dan pengalaman baharu kepada pelajar terutamanya pelajar pascapandemik yang kurang mendapat pendedahan mengenai kemahiran insaniah secara bersemuka.

“Program ini memberi peluang kepada peserta untuk menilai diri mereka daripada perspektif yang berlainan dan mereka turut belajar untuk bekerja dalam kumpulan secara efektif. Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan peserta dan merupakan satu permulaan yang baik untuk peserta mengenali kelebihan diri,” tambahnya lagi.

Program yang sarat dengan pelbagai pengisian ilmu dan aktiviti menarik itu secara tidak langsung turut memantapkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan program pelajar Kursus QKK2101 Kumpulan 5 selaku penganjur program.

Majlis penutupan program yang disempurnakan oleh Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Prof Dr Shahrul Razid Sarbini itu turut dihadiri Ketua Hal Ehwal Pelajar UPMKB Dr Kamil Latif dan Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Mohamad Syukri Adnan.

Tarikh Input: 06/12/2022 | Kemaskini: 07/12/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETLAK~