PROGRAM PUTRA BAKTI: GREAT LEADER, GREAT COMMUNICATOR TINGKAT KEMAHIRAN KOMUNIKASI DAN KEPIMPINAN PELAJAR SEKOLAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM PUTRA BAKTI: GREAT LEADER, GREAT COMMUNICATOR TINGKAT KEMAHIRAN KOMUNIKASI DAN KEPIMPINAN PELAJAR SEKOLAH

PROGRAM PUTRA BAKTI: GREAT LEADER, GREAT COMMUNICATOR TINGKAT KEMAHIRAN KOMUNIKASI DAN KEPIMPINAN PELAJAR SEKOLAH

BINTULU 18 Jun, - Kemahiran untuk berkomunikasi secara berkesan merupakan antara kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh semua orang terutamanya para pelajar kerana mereka merupakan bakal-bakal pemimpin negara atau masyarakat pada masa hadapan.

Gaya komunikasi seseorang menggambarkan gaya kepimpinannya. Menyedari hal ini, Pelajar- pelajar Kursus Ko kurikulum berkredit QKT2101 Seni Penghujahan (Kumpulan 101), Semester Kedua Sesi Akademik 2021/2022, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan program Putra Bakti: Great Leader, Great Communicator pada 18 Jun 2022 lalu.

Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk memperkasakan lagi bakat pelajar dalam kepimpinan mereka dengan menggunakan pertuturan dan gaya bahasa yang sesuai. Program selama sehari ini telah dijalankan di Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak dengan penyertaan peserta seramai 68 orang.

Objektif program adalah untuk memantapkan kemahiran-kemahiran insaniah yang telah dipelajari sepanjang kursus Seni penghujahan serta memperluaskan pengalaman diri terhadap cara pengendalian dan pelaksanaan program secara fizikal. Dua topik menarik yang disampaikan dalam program iaitu Komunikasi Kepimpinan Berkesan yang telah disampaikan oleh Encik Nalong Buda, Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak manakala tajuk Minda seorang komunikator yang hebat telah disampaikan oleh Tuan Mejar Langet Chok, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Bahagian Bintulu, Ketua Kompeni, Kompeni C, Batalion 2 Rejimen 510W.

Pada sebelah petang pula, para peserta berpeluang untuk mengaplikasikan ilmu yang telah diperoleh daripada kedua-dua ceramah yang telah diadakan pada sebelah pagi melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan. Sesi ini memberi ruang para peserta menyerlahkan bakat dan kebolehan dalam aplikasi kemahiran insaniah yang penting untuk kecemerlangan diri pada setiap individu.

Sesi penyampaian cenderamata mengakhiri program dan rata-rata peserta memberi maklumbalas positif dan berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam melahirkan pelajar yang mempunyai ilmu komunikasi yang mantap agar dapat menjadi seorang insan yang berkepimpinan, berwibawa dan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

 

 

 

Tarikh Input: 03/08/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXESLAa~