PROGRAM PUTRA BAKTI EDU — VOLUNTEER ‘FROM UNIVERSITY TO THE COMMUNITY’ SASAR PENGUKUHAN KEMAHIRAN BAHASA INGGERIS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM PUTRA BAKTI EDU — VOLUNTEER ‘FROM UNIVERSITY TO THE COMMUNITY’ SASAR PENGUKUHAN KEMAHIRAN BAHASA INGGERIS

PROGRAM PUTRA BAKTI EDU — VOLUNTEER ‘FROM UNIVERSITY TO THE COMMUNITY’ SASAR PENGUKUHAN KEMAHIRAN BAHASA INGGERIS

PENGANJURAN Program Putra Bakti Edu Volunteer “From University to The Community” menyasarkan pengukuhan kemahiran bahasa Inggeris secara kreatif, interaktif dan holistik dalam kalangan murid sekolah, pelajar universiti dan juga guru.

Program anjuran Pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 101 Semester Kedua Sesi Akademik 2021/2022 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di Bintulu, baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada murid-murid dan guru-guru SK Bintulu.

Guru Besar SK Bintulu, Encik Mohamed Khaidir Mohamed Arebi berkata, Program Putra Bakti Edu - Volunteer ‘From University to The Community’ ini amat bagus dilaksanakan kerana ia memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran berinteraksi dalam bahasa Inggeris.

Selain itu katanya, ia dapat meluaskan serta menambah jaringan ilmu pengetahuan kepada setiap peserta. Tambahan pula, peserta dapat mempraktikkan dan mengamalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam kehidupan seharian.

“Program seperti ini dilihat mampu memperkukuhkan dan meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri setiap peserta dan dapat melahirkan individu yang lebih cakna."

“Kebolehan berfikir secara kritis dan kreatif untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari dan menambah ilmu dalam bidang bersesuaian menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam pasaran kerja kelak,” kata Mohamed Khaidir pada majlis perasmian program berkenaan yang dihadiri oleh murid-murid tahun empat dan enam serta guru-guru SK Bintulu.

Antara topik motivasi dan kemahiran bahasa Inggeris yang telah dikongsikan oleh panel penceramah ialah “Be Smart with Tik Tok and Social Media” disampaikan oleh Cik Nur Asyikin Zaidi untuk slot satu.

Bagi slot dua, tajuk motivasi “How to Handle Stress” disampaikan oleh Puan Hairunisah Abdul Rahman, manakala Ts Dr. Suhaili Mustafa menyampaikan slot tiga dengan tajuk “How to Back on Track After Procrastination”.

Bagi slot guru pula, Prof. Madya Dr. Mohd Ibrani Shahrimin Adam Assim berkongsi ilmu serta tips tentang “Get Back Your Motivation”. Kesemua panel penceramah hebat ini adalah dari UPMKB.

Selain ceramah motivasi, program tiga hari ini juga melibatkan aktiviti pembersihan di kawasan sekolah seperti Bilik Makmal Sains, Bilik Kaunseling, Bilik Doktor Muda dan Bilik JQAF.

Selain itu, penganjur juga membantu guru-guru SK Bintulu melukis dan mengecat doodle di dinding Bilik Doktor Muda.

“Melalui penganjuran program ini, pelajar UPMKB dapat memantapkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Kita sedia maklum bahawa kemahiran insaniah atau kemahiran generik merupakan elemen penting yang perlu dikuasai oleh setiap mahasiswa dan mahasiswi di samping pencapaian akademik.

“Tambahan pula, menerusi pengajuran program ini, para pelajar dapat mempelajari dan mengembangkan kemahiran dalam pengurusan majlis dan juga protokol serta keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat luar.

“Banyak prosedur yang perlu dilakukan atau dilalui oleh para pelajar. Maka di sinilah para pelajar menunjukkan bakat masing-masing,” kata pengarah Program Putra Bakti Edu - Volunteer “From University to The Community” Nurul Izwani Salehin.

 

 

 

 

Tarikh Input: 13/10/2022 | Kemaskini: 13/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEZTAU~