PROGRAM MENGANJAK KEMAHIRAN KOMUNIKASI ANDA – MEMPERSIAP BAKAL PEMIMPIN MASA AKAN DATANG | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM MENGANJAK KEMAHIRAN KOMUNIKASI ANDA – MEMPERSIAP BAKAL PEMIMPIN MASA AKAN DATANG

PROGRAM MENGANJAK KEMAHIRAN KOMUNIKASI ANDA – MEMPERSIAP BAKAL PEMIMPIN MASA AKAN DATANG

UPM KAMPUS BINTULU SARAWAK – Kemahiran Komunikasi adalah merupakan salah satu daripada 7 Kemahiran Insaniah yang penting bagi setiap graduan selain Kemahiran Kerja Berpasukan, Kepimpinan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Keusahawanan, Pemikiran Kritis & Penyelesaian Masalah, serta Etika Moral. Jika kesemua Kemahiran Insaniah ini dapat dikuasai dan dihayati, ianya akan menjadi satu  nilai tambah bagi seseorang graduan sebagai persediaan dalam menghadapi alam pekerjaan.

Memetik kenyataan Datuk Haji Shamsuddin Bardan, Setiausaha Persekutuan Majikan – Majikan Malaysia semasa ditemu bual oleh salah sebuah akhbar perdana sebelum ini menyatakan sektor swasta pada masa kini tidak hanya melihat kepada latar belakang akademik semata – mata tetapi turut melihat apa yang mampu dilakukan oleh seseorang individu. Apa yang menyedihkan masih banyak graduan yang mampu mempamerkan isi resume yang sangat baik iaitu pencapaian akademik yang sangat cemerlang tetapi gagal berkomunikasi dengan baik semasa sesi temuduga.

Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kementerian dan pihak lain yang berkaitan bagi meningkatkan Kemahiran Insaniah pelajar termasuk kemahiran komunikasi seperti pelaksanaan aktiviti Kokurikulum Berkredit di universiti, aktiviti pembentangan tugas khas, penyertaan dalam aktiviti berpersatuan dan sebagainya. Namun, untuk mengasah kemahiran komunikasi ini bukanlah satu usaha yang boleh dilakukan dengan sekelip mata tetapi ianya memerlukan masa dan usaha yang lebih panjang serta penambahbaikan secara berterusan.

Melihat kepada senario ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah merangka dan melaksanakan satu program yang memfokuskan kepada kemahiran komunikasi yang dinamakan sebagai Program Menganjak Kemahiran Komunikasi Anda. Program ini dianjurkan khusus untuk barisan pemimpin pelajar UPMKB termasuk Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Sri Rajang serta Jawatankuasa Tertinggi Kelab / Persatuan Pelajar UPMKB.

“Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menambah pengetahuan peserta tentang teknik komunikasi yang berkesan dan seterusnya meningkatkan keyakinan peserta untuk berkomunikasi dengan lebih baik” ujar Dr. Kamil Bin Latif, Pengetua Kolej / Ketua Hal Ehwal Pelajar, UPMKB merangkap Penasihat program ini.

“Kita amat berterima kasih kepada barisan penceramah yang terdiri daripda pensyarah dan pegawai UPMKB sendiri atas kerjasama yang diberikan dalam penyediaan modul dan seterusnya menyampaikan ceramah berkaitan dengan penuh dedikasi. Sekalung penghargaan juga diberikan kepada Barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPMKB 2021 dan staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPMKB yang terlibat dalam penganjuran program ini.” tambah beliau lagi.

Program yang telah dilaksanakan pada 26 Jun 2021 ini telah dihadiri oleh lebih 115 orang barisan pemimpin pelajar yang bukan sahaja terdiri daripada pelajar yang ada di kampus malah turut melibatkan pelajar yang ada di kampung halaman masing – masing.  Program ini telah dilaksanakan secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak 3 slot telah dilaksanakan dalam program kali ini iaitu Slot 1: Konsep, Gaya dan Bahasa Komunikasi Berkesan (disampaikan oleh Pn. Rosidah Basir, Penolong Pendaftar Kanan, Kolej Sri Rajang, UPMKB), Slot 2: Adab, Etika dan Kaedah Komunikasi Dalam Organisasi (disampaikan oleh En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPMKB) dan Slot 3 : Membina Keyakinan Dalam Berkomunikasi (disampaikan oleh Dr. Hanisah Kamilah Abd. Razak, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB)kata En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, merangkap Penyelaras Program Menganjak Kemahiran Komunikasi Anda pada kali ini.

“Rata – rata maklum balas yang diterima daripada peserta amat memberangsangkan dan mencadangkan program ini dilaksanakan dengan lebih kerap serta berharap agar program sebegini dapat dilaksanakan secara bersemuka pada masa akan datang. Memang kita sasarkan untuk laksanakan program ini setiap tahun” ujar beliau lagi.

Penganjuran program ini dilihat mampu mencapai objektif penganjurannya dan sekaligus memberi impak positif kepada bakal pemimpin Negara masa akan datang.

 

PROGRAM MENGANJAK KEMAHIRAN KOMUNIKASI ANDA

SLOT 1: KONSEP, GAYA DAN BAHASA KOMUNIKASI BERKESAN

(PN. ROSIDAH BASIR)


SLOT 2: ADAB, ETIKA DAN KAEDAH KOMUNIKASI DALAM ORGANISASI

(EN. MOHAMAD SYUKRI MOHAMAD ADNAN)

 

SLOT 3 : MEMBINA KEYAKINAN DALAM BERKOMUNIKASI

 (DR. HANISAH KAMILAH ABD. RAZAK)

 

 

Tarikh Input: 02/07/2021 | Kemaskini: 27/04/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEZNAf~