PROGRAM KOMUNITI PUPUK JATI DIRI PELAJAR UNIVERSITI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM KOMUNITI PUPUK JATI DIRI PELAJAR UNIVERSITI

PROGRAM KOMUNITI PUPUK JATI DIRI PELAJAR UNIVERSITI

KERJASAMA: Para pelajar UPMKB terlibat dalam aktiviti gotongroyong membersihkan kawasan Pusat Islam UPMKB, baru-baru ini.

Tingkat kemahiran komunikasi, pendedahan urus program, memantapkan kepimpinan, tanggungjawab

Kemahiran seperti ini amat penting untuk para pelajar dalam menempuh cabaran masa kini dan sebagai persediaan untuk melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah tinggi apabila melangkah keluar selepas tamat pengajian.

BINTULU: Penyertaan secara langsung mahasiswa dan mahasiswi dalam pelbagai program universiti akan meningkatkan kemahiran komunikasi, memberi pendedahan dan pengalaman dalam mengurus sesebuah program sekali gus memantapkan sifat kepimpinan serta tanggungjawab mereka.

Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Profesor Dr Shahrul Razid berkata, penglibatan pelajar sepanjang program ‘The Baksis Day’ yang merupakan program komuniti setempat dapat memantapkan kemahiran insaniah dan sahsiah pelajar.

Katanya, program ini membuka perspektif para pelajar untuk sentiasa berfikiran positif dalam menerapkan semangat kerjasama dan saling membantu.

“Kemahiran seperti ini amat penting untuk para pelajar dalam menempuh cabaran masa kini dan sebagai persediaan untuk melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah tinggi apabila melangkah keluar selepas tamat pengajian,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyertaan seramai 105 Pelajar Bakti Siswa UPMKB dalam Program Putra Bakti: ‘Serve the Circle’ sempena The Baksis Day @ UPMKB 2022.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPMKB, Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Justeru katanya, pengelolaan program seperti ini amat baik dalam membentuk tanggungjawab pelajar dalam menabur bakti dan lebih cakna dalam kampus serta komuniti setempat.

Pelbagai aktiviti dan program telah diadakan pelajar setiap kumpulan iaitu Bakti Siswa Kumpulan 1 Program Animal Exhibition (AnimEX 4.0) pada 29 Oktober lalu yang menekankan kaedah pembelajaran secara bersemuka dengan orang ramai di pekarangan Dewan Sri Kenyalang UPMKB.

Program itu antara lain untuk memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai kepentingan kemahiran khas penjagaan haiwan peliharaan, reptilia dan haiwan akuatik, sekali gus berpotensi menjadi landasan perkongsian ilmu dalam industri ternakan haiwan yang turut menjana pembangunan ekonomi negara.

Bakti Siswa Kumpulan 2 pula menjalankan ‘Program STEMazing With Us’ pada 12 November 2022 di Bilik Kuliah 2 dan 3 dengan tujuan menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sementara itu, Bakti Siswa Kumpulan 3 telah menjalankan Program ‘The Baksis Day@HealLIS’ juga pada 12 November 2022 di Dewan Kuliah Pusat 2A UPMKB membabitkan acara senam aerobik, terapi ketawa, bicara motivasi dan demonstrasi memasak.

Acara kemuncak adalah aktiviti gotong-royong membersih dan menceriakan kawasan Pusat Islam UPMKB yang bertujuan mengeratkan ukhuwah antara pelajar dan kakitangan serta meraikan majlis penutupan ‘The Baksis Day @ UPMKB 2022’.

Program itu dimeriahkan dengan demonstrasi Unit K9 PDRM yang memberi impak berkesan kepada komuniti dalam semua peringkat umur, sekali gus berkongsi pengetahuan, pembelajaran deria, pemantapan bahasa dan pengukuhan ikatan kekeluargaan.

Hadir sama Pengetua merangkap Ketua Hal Ehwal Pelajar UPMKB Dr Kamil Latif, Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra UPMKB Dr Amy Halimah serta para fasilitator program Roslan Ismail, Mohammad Saufi Mohammad Ramli dan Dr Wan Nor Zanariah Zainol@ Abdullah.


 

 

Tarikh Input: 22/11/2022 | Kemaskini: 22/11/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEYMAM~