PROGRAM JELAJAH BHEP@BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM JELAJAH BHEP@BINTULU

PROGRAM JELAJAH BHEP@BINTULU

Bintulu, 20 Ogos 2022 ~ Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2021/2022 dan UPM International Student Association (UPMISA) telah menganjurkan program Jelajah BHEP@Bintulu pada 17 – 20 Ogos 2022. Program ini bertujuan memberi peluang kepada barisan pemimpin pelajar untuk bersama-sama mengeratkan silaturahim antara kedua-kedua kampus Serdang dan Bintulu. Kunjungan ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Pengarah Kampus UPMKB iaitu Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini yang menyambut kedatangan kami ke sini.
 
Pelbagai pengisian telah dirancang dan dilaksanakan bermula pada hari pertama iaitu sesi “Ice Breaking – Suai Kenal” yang telah dikendalikan oleh barisan MPP. Slot ini memberi pelbagai persepsi antara pelajar-pelajar Diploma memandangkan mereka baru sahaja menjejakkan kaki ke menara ilmu ini. Aktiviti yang diadakan ternyata memberi impak kepada mereka dan berjaya memberi input positif untuk bergelar mahasiswa.
 
Selain itu, kunjungan ini juga telah memberi peluang antara kedua-dua belah pihak untuk membincangkan beberapa perkara mengenai pengurusan aktiviti pelajar. Pihak BHEP Serdang yang diketuai oleh Encik Nuruliman Ibrahim sempat mengadakan mesyuarat libat urus bersama-sama BHEP Kampus Bintulu. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan selaku pegawai yang menguruskan aktiviti pelajar di sini.
 
Banyak perkara telah dibincangkan dan diteliti antaranya Pengurusan Kebajikan Pelajar, Pengurusan Kewangan Kelab/Persatuan, Tabung Perlindungan Pelajar, Penubuhan Kelab/Persatuan, Pengendalian Sistem e-Merit dan sebagainya. Di samping itu juga, kami berpeluang berkunjung ke pejabat BHEP untuk melihat suasana mereka bekerja sekaligus menguruskan hal ehwal pelajar di sini. Amat tertarik dengan fasiliti yang disediakan kepada pelajar dan staf di sini.
 
Salah satu tujuan utama kunjungan ini adalah pemberian peranti kepada pelajar-pelajar yang terpilih. Pembahagian komputer riba kepada pelajar B40 telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Seri Rajang iaitu Dr. Kamil Latif merangkap Ketua Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPMKB. Seramai 10 orang penerima peranti yang terdiri daripada pelajar kategori B40 daripada pelbagai jurusan.
 
Program libat urus sebegini amat baik untuk diteruskan agar kerjasama antara kedua-dua belah pihak dapat dihubung jalinkan supaya pengurusan hal ehwal pelajar dapat ditingkatkan demi melahirkan pelajar yang holistik dan bersedia menjadi pemimpin masa depan.
 
BHEP komited untuk terus melakukan yang terbaik.
 

 

Tarikh Input: 22/08/2022 | Kemaskini: 07/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdFA5~