PROGRAM GAI MENJANA KREATIVITI PELAJAR TAHUN ENAM SK AGAMA (MIS) BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM GAI MENJANA KREATIVITI PELAJAR TAHUN ENAM SK AGAMA (MIS) BINTULU

PROGRAM GAI MENJANA KREATIVITI PELAJAR TAHUN ENAM SK AGAMA (MIS) BINTULU

INOVASI adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dilaksanakan dan merangkumi apa-apa perubahan dalam bentuk sistem, prosedur, kaedah dan cara bekerja.

Manakala reka cipta adalah penghasilan suatu produk atau pengubahsuaian produk sedia ada bagi memenuhi kehendak pengguna masa kini dan akan datang.

Dalam era moden hari ini, penghasilan inovasi secara berterusan dan berimpak tinggi diyakini berupaya meningkatkan kecekapan sesuatu proses serta penyampaian perkhidmatan.

Namun, idea inovatif yang hebat memerlukan daya kreativiti yang tinggi dan sokongan untuk direalisasikan.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Bintulu di Bintulu, Shahrin Omar berkata, program inovasi yang diadakan ini telah membantu pelajar untuk meningkatkan daya kreativiti dan menjana idea inovatif kepada mereka selain dapat membantu mencungkil bakat inovasi dan reka cipta yang terpendam dalam diri peserta.

Seramai 52 pelajar tahun enam SK Agama (MIS) Bintulu yang dipimpin oleh 23 ahli jawatankuasa pelaksana iaitu mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) bersama penasihat mereka Fatin Farhanim Mohammad telah berjaya melaksanakan program ini dengan lancar.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program Gen Alpha Innovation (GAI) pada 5 November 2022 ialah kaedah melakar idea projek, cara-cara membina prototaip dan menghasilkan roket air (protaip) yang berfungsi.

Program tersebut diadakan secara bersemuka di Dewan Ibnu Sina SK Agama (Majlis Islam Sarawak) Bintulu.

Program ini diadakan agar peserta dapat menzahirkan idea-idea yang bernas di samping mencuba perkara baharu, menajamkan pemikiran peserta agar berfikir di luar kotak pemikiran dan menilai kelebihan dan kekurangan sesuatu produk yang dicipta bagi memperbaiki diri pada masa akan datang.

Program ini dimulakan dengan slot ‘Spring Into Action (Ice Breaking)’ bagi meningkatkan daya ketangkasan dan kecekapan peserta.

Di samping itu, slot ini juga merapatkan lagi ukhwah antara peserta dan penganjur agar peserta lebih selesa berkomunikasi dengan penganjur sepanjang program dilaksanakan.

Peserta begitu teruja dan memberikan kerjasama yang baik sewaktu melaksanakan aktiviti ini.

‘Sketch Your Dream’ pula merupakan aktiviti kedua yang telah dilaksanakan oleh para peserta. Dalam slot ini, para peserta dikehendaki melakar produk yang berunsurkan inovasi selama satu jam.

Pelbagai lakaran yang dapat dilihat ketika mereka melukis berserta cara melukis dari aspek 2D dan 3D yang cukup baik. Peserta juga bersemangat untuk menghasilkan reka cipta yang menarik dan kreatif.

Daripada aktiviti ini, peserta dapat mempelajari cara untuk menyampaikan idea, menunjukkan fungsi produk, menggambarkan aliran penggunaan produk dan menggambarkan produk.

Seterusnya, slot ketiga yang diberi nama `Future Fellowship’ di mana peserta akan dibahagikan kepada sembilan kumpulan untuk membina kereta getah, bangunan daripada penyedut minuman dan perangkap beruang.

Peserta perlu bekerjasama dalam kumpulan untuk menghasilkan idea prototaip yang berfungsi. Setiap kumpulan akan dibantu oleh seorang ahli jawatankuasa bagi memastikan peserta dapat mempelajari cara-cara membuat prototaip bagi suatu projek sama ada berfungsi atau tidak.

Slot yang terakhir ialah ‘Aim For The Moon’ yang mana setiap peserta dibahagikan kepada tujuh kumpulan baharu dan mereka diberi tugas untuk membina sebuah roket air dan dibantu oleh jawatankuasa pelaksana. Setelah siap prototaip, ahli jawatankuasa yang bertugas melancarkan roket air menggunakan pam angin.

Pada pandangan saya, walaupun program yang dilaksanakan tidak begitu sempurna namun ia tetap dikendalikan dengan sangat baik memandangkan penganjur-penganjur baru pertama kali mengadakan program, kata Shahrin ketika menyempurna majlis penutupan program tersebut.

Beliau merakamkan penghargaan atas usaha gigih mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam menjayakan program yang dirancang serta menjelaskan program ini dapat merapatkan lagi hubungan antara mahasiswa dan mahasiswi dengan masyarakat di sekitar Bintulu.

Beliau juga sentiasa mengalu-alukan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu untuk mengadakan program seperti ini pada masa yang akan datang.

Tarikh Input: 04/01/2023 | Kemaskini: 05/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdAAb~