Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris Dilantik Semula Naib Canselor UPM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dilantik semula Naib Canselor UPM

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dilantik semula Naib Canselor UPM

SERDANG, 4 Dis – Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) selama dua tahun lagi bermula 1 Januari, 2018 hingga 31 Disember 2019 setelah mendapat surat pelantikan secara rasmi daripada YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh baru-baru ini.

Prof. Aini  merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ Seri Idris Jusoh yang memberi kepercayaan, peluang dan amanah kepadanya untuk untuk menerajui UPM selama dua tahun lagi bagi meneruskan legasi memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada universiti.

“Pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggung jawab yang amat besar bagi saya. Insya Allah saya akan menjalankan tugas ini dengan terbaik demi kecemerlangan Universiti Putra Malaysia dan pendidikan tinggi Malaysia. Saya berdoa agar  dikurniakan kekuatan  fizikal dan mental serta kesihatan yang baik oleh yang Maha Esa.

“Dengan pelantikan ini, saya akan terus berusaha untuk meningkatkan pencapaian UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan unggul yang mengharumkan nama negara di peringkat global,” katanya yang berharap dapat bersama semua warga UPM untuk terus berusaha melonjakkan kecemerlangan dan pencapaian UPM ke tahap yang lebih tinggi.

Antara pencapaian terbaik UPM semasa Prof. Aini menjawat jawatan sebagai Naib Canselor ialah UPM memperkukuhkan ranking ke-229 universiti terbaik dunia dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2017/2018 selain mengekalkan  kedudukan sebagai universiti kedua terbaik dalam negara dan mencatat kenaikan kedudukan sebanyak empat tahun berturut-turut.

Dalam tempoh pentadbirannya sebagai Naib Canselor, UPM juga berjaya meraih kemenangan dua tahun berturut-turut dalam kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) dan merangkul Emas di Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2017.

Prof. Aini mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran di UPM sebagai Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar (9 tahun), Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (8 tahun), Timbalan Naib Canselor - Akademik & Antarabangsa (5 tahun), Pengarah Pejabat Strategi Korporat & Komunikasi - yang pertama (2 tahun), dan seterusnya Naib Canselor UPM pada 1 Jan 2016.

Beliau juga memegang beberapa jawatan penting di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta mempunyai ‘track record’ yang cemerlang dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan khidmat profesional.

Prof. Aini merupakan saintis terkemuka dalam penyelidikan  penyakit pernafasan dan imunosupresif avian. Beliau juga telah berjaya mengkomersialkan  vaksin penyakit ‘Newcastle’ pada 1995 dan vaksin kultur tisu ‘fowl pox’ pada 1996 hingga menembusi pasaran di 18 buah negara.

Pada tahun 2005, beliau turut terlibat sebagai penyelidik bersama dalam mengkomersilkan satu lagi vaksin penting bagi ayam, iaitu vaksin penyakit bursa berjangkit.  Pasukan penyelidik beliau juga telah membangunkan beberapa kit diagnosis pantas untuk mengesan penyakit avian influenza (selsema burung - yang merupakan satu penyakit zoonotik), penyakit ‘Newcastle’, penyakit bursa berjangkit dan penyakit ‘Mycoplasmosis’.

Pada tahun 2011, Prof. Aini telah menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010, kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk hasil kejayaan beliau dalam inovasi dan pengkomersilan vaksin penyakit ‘Newcastle’.

Beliau menerima Anugerah Alumni Terbilang UPM 2012 dan diumumkan antara Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia 2013.

Kemuncak kejayaannya pada tahun 2013, beliau dilantik antara ahli ulung Dewan Penghormatan (Inaugural Member Hall of Honour), World Veterinary Poultry Association iaitu sebagai pengiktirafan pencapaian paling berprestij dalam penyelidikan saintifik, latihan dan pendidikan kesihatan avian serta kepemimpinan komuniti negara membangun. 

Kegigihan dan kejayaan beliau sebagai seorang saintis, telah diberi pengiktirafan oleh badan-badan profesional di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau telah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (FASc) pada tahun 2009. Beliau juga adalah merupakan Felo Pengasas bagi Malaysian College of Veterinary Specialists (FMCVS) dan Felo bagi Malaysian Scientific Association (FMSA). Pada Oktober 2011, beliau telah dipilih sebagai Felo Islamic World of Academy of Sciences (FIAS).

Tarikh Input: 05/12/2017 | Kemaskini: 05/12/2017 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcUAE~