PREMIER SARAWAK UMUM NAMA BAHARU MANRED, KINI DIKENALI KEMENTERIAN INDUSTRI MAKANAN, KOMODITI DAN PEMBANGUNAN WILAYAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PREMIER SARAWAK UMUM NAMA BAHARU MANRED, KINI DIKENALI KEMENTERIAN INDUSTRI MAKANAN, KOMODITI DAN PEMBANGUNAN WILAYAH

PREMIER SARAWAK UMUM NAMA BAHARU MANRED, KINI DIKENALI KEMENTERIAN INDUSTRI MAKANAN, KOMODITI DAN PEMBANGUNAN WILAYAH

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) kini secara rasminya dikenali sebagai Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah.

Pertukaran nama baharu itu diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa merasmikan Kongres Pertanian Mampan Dan Keselamatan Makanan (COSAFS) di sini pada Rabu.

“Oleh kerana pertanian terlalu penting kepada kami, saya telah memutuskan untuk menukar nama kementerian ini di bawah Dato Sri Dr. Stephen Rundi, seorang menteri yang bekerja keras dengan visinya, kepada Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.  

“Kami akan mengkaji apa sahaja input yang anda pelajari daripada kongres ini dan ia merupakan sebahagian daripada langkah kami ke arah pertanian mampan,” katanya.

Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut berkongsi pandangan mengenai hala tuju pembangunan pertanian secara mampan dan keselamatan makanan yang menurutnya menjadi satu perkara yang sangat mencabar dalam membangunkan ekonomi Sarawak.

Ujarnya, sektor pertanian telah dikenalpasti sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Tambah beliau lagi, ia sekaligus membuka ruang kepada pengeluar, saintis penyelidik, pengguna, organisasi, institusi, badan korporat dan komuniti untuk mengukuhkan kerjasama ke arah mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang tahun 2030.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Swinburne serta simbolik penyerahan dana projek AgriHub@Gedong. 

Hadir sama ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak 1 Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak 2 Martin Ben, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Naib Canselor UPM Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman serta Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit.

Kongres yang diadakan selama empat hari bermula 21 hingga 24 September tersebut mendapat penyertaan lebih daripada 300 peserta bagi mengikuti syarahan ucaptama termasuk pembentangan lisan dan poster yang mengetengahkan penyelesaian serta cadangan dalam aspek terkait bidang pertanian dan keterjaminan makanan.

Tarikh Input: 26/09/2022 | Kemaskini: 28/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdUAM~