PERTAHAN IDENTITI PERIBUMI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PERTAHAN IDENTITI PERIBUMI

PERTAHAN IDENTITI PERIBUMI

Kerajaan negeri peruntuk RM2.54 juta tubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan Satem diterajui UPMKB.

PERASMIAN: Abang Johari menurunkan tandatangan pada plak digital sebagai simbolik perasmian ICOSSH 2021, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.54 juta bagi menubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan Satem untuk memacu usaha penyelidikan dan mempertahankan identiti unik serta kekayaan warisan budaya peribumi Borneo di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, penyelidikan etnik di Sarawak, khasnya dari aspek budaya, bahasa, pemikiran manusia, adat seni dan warisan tradisional akan diterajui Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak. Menurutnya, Kursi Pehin Sri Adenan Satem akan menjadi hab pengumpulan data warisan budaya dan khazanah pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Borneo yang mungkin akan terbiar atau dilupakan jika tiada penyelidikan mendalam dilakukan.

Beliau berkata, penubunan Kursi Pehin Sri Adenan Satem merupakan usaha sama dalam penyelidikan antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kerajaan negeri Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak. Kepakaran yang dimiliki UPMKB katanya, sudah pasti akan membantu usaha kerajaan Sarawak memelihara budaya dan warisan etnik Borneo.

“Kerajaan Sarawak berharap dengan penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem di UPM Kampus Bintulu, mungkin akan membangunkan UPM Kampus Bintulu sebagai pusat penyelidikan etnik-etnik Borneo di Sarawak, memfokus kepada elemen-eleman budaya, bahasa dan sosioekonomi. “Usaha UPM Kampus Bintulu memfokus kepada kajian etniketnik Sarawak secara khusus harus dihargai kerana kita ke arah pembangunan ekonomi yang lebih baik.

"Justeru, bagi menyokong usaha murni ini, kerajaan Sarawak bersetuju menubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan Satem yang sepanjang hayatnya merupakan seorang pemimpin yang hebat dan pendukung juga peminat elemenelemen seni dan budaya,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 (ICOSSH 2021) di sebuah hotel di sini, semalam. Pada majlis itu juga, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoA) antara Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan UPM bagi penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai 27 kumpulan etnik dan bertutur dalam 45 dialek. Bagaimanapun katanya, jika dilhat lebih dekat, penduduk peribumi dan suku kaum di negeri ini boleh dibahagikan kepada subsuku kaum bergantung kepada lokasi geografi mereka. Sebagai contoh katanya, komuniti Dayak dibahagikan kepada kumpulan Dayak Laut (Iban), Sebuyau, Remun, Balau dan Iban Undup, manakala Melayu diklasifikasikan sebagai Melayu Brunei dan Melayu Sarawak, sementara Melanau terbahagi kepada Oya, Daro, Balingian dan sebagainya.

“Sudah pastinya kepelbagaian bentuk budaya ini menyediakan sumber sangat penting untuk aktiviti penyelidikan terutama mengenai budaya, bahasa, amalan-amalan tradisional, seni persembahan dan juga gaya hidup,” katanya. Abang Johari menambah, walaupun kerajaan Sarawak sedang berusaha membangunkan ekonomi digital, aspek penting budaya tempatan mesti dipelihara dan dipromosikan. Sehubungan itu katanya, di bawah Belanjawan Negeri 2022, RM10 juta telah diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pemudahcara Warisan, Seni dan Budaya pada tahun hadapan untuk meningkatkan program serta promosi pelancongan di Sarawak.

“Saya amat berharap kita dapat meneruskan program mencipta peluang dan memperkukuhkan lagi usaha menubuhkan kerjasama akademik serta penyelidikan antara universiti-universiti di kepulauan Borneo dan di seluruh kepulauan ini dan meningkatkan reputasi Borneo sebagai destinasi ekopelancongan dengan mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat antarabangsa,” katanya. Mengenai ICOSSH21, Abang Johari berkata, ia boleh membawa kepada pembangunan hab pendidikan peringkat antarabangsa di Borneo dan membina hubungan untuk mempromosikan dan memupuk kepelbagaian tradisi budaya masyarakatnya.

Beliau berkata, persidangan yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang dan negara seperti Brunei, Indonesia dan Filipina. “Tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan UPMKB kerana menganjurkan persidangan ini yang telah menyediakan landasan membincangkan kepelbagai budaya di kepulauan ini," katanya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Sri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu, Naib Canselor UPM Profesor Ir Dr B.T. Hang Tuah Baharudin dan Pengarah UPMKB Prof Madya Dr Shahrul Razid Sarbini.

 

Tarikh Input: 29/10/2021 | Kemaskini: 27/04/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETSAo~