Muhammad Affan Ab Rahman, UPM Kampus Bintulu | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » Muhammad Affan Ab Rahman, UPM Kampus Bintulu

Muhammad Affan Ab Rahman, UPM Kampus Bintulu

"SAYA sengaja bertanyakan soalan yang luar daripada kebiasaaan kerana itu saja peluang yang saya ada pada waktu itu," kata Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Muhammad Affan Ab Rahman, 26.

Dia adalah pemuda yang bertanyakan soalan yang agak 'sempoi' dan berpeluang berswafoto dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu video yang tular di Facebook (FB), sejak 9 Januari lalu.

Muhammad Affan berkata, program berkenaan sebenarnya berlangsung pada pertengahan April 2016 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang ketika dia menjadi Pembantu Penyelidik di UPM Kampus Bintulu, Sarawak.

"Saya tidak tahu daripada mana dan macam mana video berkenaan boleh tular sekarang, sedangkan ia berlaku hampir dua tahun lalu.

"Apapun, ia memang pengalaman yang cukup bagus memandangkan tidak semua boleh dapat peluang pada waktu yang tepat," katanya yang berasal dari Muadzam Shah, Pahang.

Antara soalan yang dikemukakan Muhammad Affan yang dijawab secara bersahaja dan rendah diri oleh Tony ialah adakah benar tiket penerbangan AirAsia lebih murah pada Selasa dan Rabu; dan mengapa orang kaya lebih gemar memakai pakaian yang 'simple' sebelum meminta izin untuk berswafoto dengan beliau di atas pentas.

"Bagi saya, Tony Fernandes ialah seorang yang sangat 'sempoi', terbaik dan merendah diri. Ada yang dia jawab kalau saya nak tukar baju T dengan dia secara bergurau.

"Pada waktu itu juga, saya langsung tidak terfikir untuk meminta tiket percuma memandangkan sebelum itu Tony sudah memberi tiket percuma kepada penuntut lain dan saya pun bukan jenis meminta, jadi saya tanyalah soalan macam itu. Ini saja peluang saya," katanya yang kini menetap di Puchong, Selangor.

Katanya, ketika ini dia menerima banyak permintaan untuk menjadi rakan di FB dan semakin dikenali, tetapi tiada perubahan drastik berlaku pada dirinya.

"Selepas saya ambil swafoto itu, saya ada muat naik gambar dalam page FB, Backpackers Buddies Malaysia (BBM) pada 19 April 2016 dan menerima 600 likes.

"Bila video berkenaan tular baru-baru ini, gambar berkenaan disiarkan semula sehingga menerima lebih 6,200 likes. Itu sajalah yang paling banyak berubah pun," katanya.

Menceritakan sedikit mengenai dirinya, selain daripada mempunyai tugas hakiki, Muhammad Affan juga gemar melancong dengan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya sekali setahun untuk ke luar negara.

Menerusi pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga, anak kelima daripada tujuh beradik itu aktif menyertai program dan melakukan kerja-kerja kebajikan seperti untuk membantu anak-anak yatim, pelarian Syria dan Rohingya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 11:23 PM

Tarikh Input: 17/01/2018 | Kemaskini: 17/01/2018 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcXAz~