MAHASISWA BANTU RINGANKAN BEBAN RAKAN SEBAYA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » MAHASISWA BANTU RINGANKAN BEBAN RAKAN SEBAYA

MAHASISWA BANTU RINGANKAN BEBAN RAKAN SEBAYA

BINTULU: Baru-baru ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menerima sumbangan daripada pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKH2104 Usahawan Siswa (Kumpulan 1) sesi 2021/2022-1 bagi membantu rakan-rakan yang memerlukan.
 
Menurut Venessa Anne anak Brown, wakil pelajar Usahawan Siswa tersebut menyatakan, sumbangan ini diperoleh daripada hasil Projek Mini Keusahawanan yang dianjurkan baru-baru ini. Dengan tanda pagar #putracakna #uswabantu, para pelajar ini telah mengadakan jualan secara atas talian bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.
 
Sumbangan ini diserahkan kepada Dr. Kamil bin Latif, Ketua Hal Ehwal Pelajar dan disaksikan oleh Hairunisah Abdul Rahman dan Roslan Ismail untuk diserahkan kepada Putra FoodBank UPMKB. Putra FoodBank merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPMKB sebagai langkah membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan makanan dan keperluan asas secara percuma yang dibuka pada setiap hari (pada waktu pejabat).
 
Justeru itu, bagi individu atau agensi yang berminat untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan ini, BHEP, UPMKB amat mengalu-alukan sumbangan berbentuk kewangan atau barangan keperluan asas seperti makanan, minuman dan keperluan diri yang lain untuk disumbangkan kepada Putra FoodBank. Sumbangan barangan boleh dihantar terus ke Pejabat Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Tingkat 2, Bangunan Pentadbiran, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak. Sumbangan berbentuk kewangan boleh disalurkan terus ke akaun 8005232086 (CIMB Bank Berhad) atas nama UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU – Rujukan: Putra FoodBank.
 
Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan pertanyaan, boleh berhubung terus dengan Hairunisah Abdul Rahman, di talian 086-855657 atau menerusi emel hairunisah@upm.edu.my. Diharapkan sumbangan seperti ini dapat meningkatkan motivasi dan memberi galakan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus berjaya dalam akademik.
 
 

Tarikh Input: 28/01/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdJAL~