LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE LADANG MARDI BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE LADANG MARDI BINTULU

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE LADANG MARDI BINTULU

Bintulu, 4 Julai 2022: Seramai 19 orang pelajar dari Bacelor Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan (BSPMP) Semester 6 Sesi 2021/2022 serta 16 orang pelajar dari Bacelor Sains Kimia Perindustrian (BSKP) Semester 2 Sesi 2021/2022 yang mengikuti kursus Pertanian dan Manusia (PRT2008) telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Ladang MARDI Bintulu yang terletak di KM 55, Jalan Bintulu-Miri. Pengurusan program lawatan sambil belajar ini dibimbing oleh enam orang pensyarah, iaitu Dr. Ribka Alan (Pensyarah Kursus PRT2008, BSPMP), Dr. Juniza Md Saad (Pensyarah Kursus PRT2008, BSKP), Dr. Omar Faruqi Marzuki, Dr. Nurul Nadwa Zulkifli, Dr. Yasmin Yaccob dan Dr. Nurul Hidayu Mat Jusoh. Pada jam seawal 7.00 pagi, semua pelajar dan pensyarah yang menyertai lawatan ini telah berkumpul di Dataran Blok C, Kolej Sri Rajang, UPMKB dan diagihkan sarapan pagi. Bas yang membawa peserta bertolak pada jam 7.45 pagi dan perjalanan ke Ladang MARDI mengambil masa selama 40 minit. Tujuan utama lawatan ini diadakan untuk menggalakkan pembelajaran secara aktif di kampus khususnya bagi kursus PRT2008 Pertanian dan Manusia. Pelajar dapat menjana ilmu pengetahuan tentang amalan pertanian Malaysia dan mengenali peranan agensi kerajaan secara langsung dalam pemerkasaan sektor pertanian.

Setiba sahaja di Ladang MARDI, pelajar disambut dengan mesra dan diberi taklimat ringkas daripada pegawai MARDI iaitu Encik Marcado Saran Dunya. Beliau menerangkan serba sedikit tentang penubuhan stesen di MARDI, Bintulu yang telah beroperasi semenjak tahun 2008. Keluasan tanah MARDI adalah 788 hektar dimana keluasan ini digunakan mengusaha pelbagai jenis tanaman seperti durian, nangka, cempedak dan tanaman yang baru diusahakan adalah kopi. Selain itu, pihak MARDI turut mengusahakan madu kelulut. Hasil terbaik daripada tanaman yang diusahakan ini akan dijual kepada orang ramai dan sesetengah daripada keluaran digunakan untuk tujuan penyelidikan. Selain itu, Encik Marcado turut menerangkan pembangunan yang sedang dalam pembikinan iaitu bangunan pentadbiran MARDI dan juga kuarters untuk kegunaan para pegawai MARDI.

Sesi taklimat kedua disampaikan oleh Encik Muhammad Fariq Hamzah yang membentangkan tentang Program Agropreneur Muda yang ditawarkan oleh MARDI dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Menurut Encik Fariq, MARDI telah bekerjasama dengan agensi yang lain untuk memberi Geran Agropreneur Muda kepada mana-mana usahawan yang mendaftar. Geran ini dikhususkan kepada golongan muda yang berumur 18 sehingga 40 tahun dan mempunyai perniagaan yang utuh. Skop perniagaan yang diberikan keutamaan adalah seperti industri tanaman, industri kelulut dan industri makanan. Namun begitu, geran ini hanya terhad kepada 5 individu dalam satu negeri dalam tempoh setahun. Beliau juga mengatakan bahawa bantuan geran yang diberikan bukan dalam bentuk wang tunai namun berbentuk barang yang diperlukan oleh peniaga. Di bawah Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan juga ada diberikan Latihan Sangkut dimana ia hanya untuk individu yang terlibat dalam pemprosesan makanan. Latihan sangkut adalah latihan teknikal pemprosesan produk makanan berbayar yang diadakan di testbed teknologi MARDI dan latihan ini diadakan satu hari sahaja.

Selesai sahaja taklimat, pelajar telah dihidangkan jamuan ringkas oleh pihak MARDI. Sesi lawatan yang diketuai oleh Encik Marcado Saran Dunya serta diiringi oleh Encik Noor Hafidz Bin Abdollah dan Encik Ahmad Zaki Suhaimi bermula dengan lawatan ke kawasan tanaman ubi secara fertigasi. Ubi yang diusahakan oleh MARDI secara fertigasi adalah ubi keledek. Selain itu, pelajar juga berpeluang untuk melihat pokok durian yang sedang berbunga dan dijangka menghasilkan buah pada penghujung tahun. MARDI mengusahakan beberapa jenis durian seperti D99, Musang King, D24, dan banyak lagi. Pelajar turut melawat tempat penanaman pokok nangka dan cempedak. Terdapat juga variasi kombinasi nangka dan cempedak yang dipanggil Nangcem. Pokok nangka yang diusahakan sedang mengeluarkan buah dan buah yang dikeluarkan dianggarkan mempunyai berat sehingga 30-kilogram sebuah. Hanya buah yang terbaik sahaja akan dijual di pasaran. Majlis penutup diadakan secara ringkas pada jam 12 tengah hari.

Terima kasih dan setinggi penghargaan kepada pihak MARDI, Bintulu di bawah pengurusan Encik Abu Bakar Azman Bin Abdul Hamid kerana telah menerima kunjungan pelajar-pelajar yang mengambil kursus PRT2008 serta memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program ini. Diharapkan, usaha jaringan antara pihak universiti dan agensi luar sama ada kerajaan atau swasta dapat diteruskan untuk memperkasakan modal insan negara.

 

 

Tarikh Input: 12/07/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUCA5~