LAWATAN KERJA KETUA MENTERI SARAWAK PERKUKUH PERANAN HAB PENYELIDIKAN SUMBER HUTAN UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » LAWATAN KERJA KETUA MENTERI SARAWAK PERKUKUH PERANAN HAB PENYELIDIKAN SUMBER HUTAN UPMKB

LAWATAN KERJA KETUA MENTERI SARAWAK PERKUKUH PERANAN HAB PENYELIDIKAN SUMBER HUTAN UPMKB

BINTULU - Lawatan Kerja Ketua Menteri Sarawak Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg ke UPM Kampus Bintulu (UPMKB), Sarawak telah berlangsung pada 10 Disember 2021. Beliau turut diiringi oleh Yang Berhormat Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Menteri Utiliti Sarawak dan Yang Berhormat Datuk Haji Talib Bin Zulpilip, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman). 

Turut hadir bersama menyambut lawatan tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis, Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullai dan juga Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman. 

30 tahun yang lalu, YAB. Datuk Patinggi telah menanam pokok spesis Belian (Eusideroxylon Zwageri) sebagai simbolik penanaman pokok di tapak Projek Pemuliharaan Hutan ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak pada 15 Julai 1991.

Ketika lawatan kerja ini, YAB Datuk Patinggi bersama Pengerusi LPU dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia sekali lagi menanam pokok spesis yang sama dan pada kali ini sebagai Ketua Menteri Sarawak pula. 

Beliau turut mendengar taklimat ‘UPMKB For Sarawak’ yang disampaikan oleh Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPM Kampus Bintulu Sarawak. 

UPM telah menyampaikan bingkai gambar kenangan YAB Ketua Menteri Sarawak ketika beliau menanam pokok belian 30 tahun lalu dan juga perkongsian Buku Pelan Strategik UPM 2021-2025.

Selain itu, beliau turut berkunjung ke Mini Pameran UPMKB di Dewan Sidang serta menandatangani plak sebagai simbolik Lawatan Kerja ke UPM Kampus Bintulu, Sarawak. 

Pada awal pagi sebelum memulakan Lawatan Kerja ini, YAB Ketua Menteri Sarawak telah merasmikan pembukaan Persidangan "The International Conference On Forest Resources Management 2021" yang dianjurkan oleh UPMKB bersama rakan kolaborasi di Hotel Promenade, Bintulu. 

Ketika majlis perasmian tersebut YAB. Ketua Menteri Sarawak telah mengumumkankan peruntukan dana Hub Penyelidikan Sumber Hutan kepada Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu sebanyak RM10.95 Juta.

Peruntukan dana hub penyelidikan dari Kerajaan Negeri Sarawak ini menyokong serta memperkukuhkan lagi hala tuju Universiti Putra Malaysia berdasarkan Pelan Strategik UPM 2021-2025 pada matlamat keduanya iaitu; Mewujudkan Hab Penyelidikan dan Inovasi yang Menjanakan Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari. - UPM

Tarikh Input: 22/02/2022 | Kemaskini: 22/02/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETUAY~