KURSUS TEKNIKAL PENTERNAKAN PUYUH DAN PEMPROSESAN KOMPOS DI UPMKB PADA 14 MEI 2022 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KURSUS TEKNIKAL PENTERNAKAN PUYUH DAN PEMPROSESAN KOMPOS DI UPMKB PADA 14 MEI 2022

KURSUS TEKNIKAL PENTERNAKAN PUYUH DAN PEMPROSESAN KOMPOS DI UPMKB PADA 14 MEI 2022

PENGENDALI KURSUS: (Dari kiri) Timbalan Pengarah, PPP, UPMKB Prof Madya Dr Amy Halimah, Carlina (Penyelaras Kursus Puyuh/Penceramah) dan John (Pensyarah Kanan/ Penceramah) menunjukkan burung puyuh serta telur burung tersebut.


BINTULU: Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) akan menganjurkan Kursus Teknikal Penternakan Puyuh dan Pemprosesan Kompos di Dewan Taklimat, Bangunan Pentadbiran UPMKB (Teori) dan Ladang Kongsi 2, Unit Puyuh dan Pusat Penetasan Unggas (Praktikal) pada 14 Mei 2022.

Kursus akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra UPMKB, Dr Carlina Freddie Simol ketika dihubungi menerangkan penganjuran kursus tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan teori berkaitan penternakan puyuh secara menyeluruh meliputi keperluan prasarana, perumahan dan pengurusan, pemakanan, pengurusan kesihatan dan pengurusan anak puyuh selepas penetasan (perindukan, pembesaran dan pemberian makanan).

Di samping itu, latihan praktikal / amali teknik pemilihan telur puyuh untuk tujuan pengeraman dan penetasan serta teknik pembuatan/penghasilan inkubator secara manual dan kecil-kecilan akan diberikan.

Praktikal pembuatan kompos melalui bahan sarap puyuh akan dikendalikan oleh Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Dr John Keen Chubo.

Timbalan Pengarah PPP UPMKB, Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee turut menambah bahawa program tersebut dijangka akan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana permintaan terhadap produk ternakan puyuh ternyata berupaya mendatangkan pendapatan yang lumayan serta semakin mendapat tempat di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan satu daripada rangkaian kursus yang telah dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program ‘University4Society’ melalui Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian dan aktiviti pengembangan pertanian bersama masyarakat umum.

Kursus ini akan dilaksanakan mengikut SOP dan norma baharu yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya berkaitan aspek penjarakan fizikal dan amalan 3W dalam menghindari penularan wabak COVID-19.

Justeru, orang ramai diseru agar tidak melepaskan peluang keemasan ini memandangkan yuran kemasukan kursus adalah amat berpatutan.

Yuran tersebut meliputi kos makanan dan minuman, sijil penyertaan dan nota kursus. Borang pendaftaran kursus boleh didapati melalui laman web rasmi www.btu.upm.edu. my dan tarikh tutup penyertaan adalah pada atau sebelum 9 Mei 2022.

Mereka yang berminat boleh berhubung dengan Noor Irawati Ahmad (019-2463160) atau Renee Sherna Laing (010-9642037) atau Faks kepada 086-855283 untuk keterangan lanjut mengenai penganjuran kursus tersebut.

 

 

Tarikh Input: 25/04/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEZGAc~