KURSUS FINISHING SCHOOL – PERKASA NILAI TAMBAH GRADUAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KURSUS FINISHING SCHOOL – PERKASA NILAI TAMBAH GRADUAN

KURSUS FINISHING SCHOOL – PERKASA NILAI TAMBAH GRADUAN

UPM KAMPUS BINTULU SARAWAK – Perkara yang menjadi kebimbangan para pelajar terutamanya pelajar tahun akhir adalah mengenai hala tuju dan nasib mereka setelah bergraduasi nanti. Memiliki pekerjaan yang bersesuaian dengan kebolehan dan latar belakang pendidikan adalah penting agar seseorang individu dapat menikmati kepuasan dalam bekerja. Namun, sebelum melangkah masuk bekerja di sesebuah organisasi, terdapat sebilangan graduan yang mengalami kegagalan pada awal fasa permohonan pekerjaan.

Isu pengangguran dalam kalangan graduan bukanlah satu fenomena baharu dalam negara kita malah di seluruh dunia. Menurut dapatan statistik daripada  Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), hampir 60% siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas di Malaysia masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian mereka. Isu ini berpunca daripada pelbagai faktor antaranya yang berkaitan dengan kesediaan graduan dalam menghadapi alam pekerjaan.

Melihat kepada senario ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah merangka satu program yang dinamakan sebagai Kursus Finishing School khusus untuk pelajar UPMKB.

“Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi nilai tambah kepada pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan selain menambah pengetahuan pelajar tentang aspek dan elemen penting yang perlu dititik beratkan semasa menghadapi sesi temuduga” ujar Dr. Kamil Bin Latif, Pengetua Kolej / Ketua Hal Ehwal Pelajar, UPMKB merangkap Penasihat Kursus Finishing School ini.

“Kita amat berterima kasih kepada pihak Pejabat Tenaga Kerja Bahagian Bintulu, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Kementerian Sumber Manusia atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam penyediaan modul dan menyediakan penceramah bagi kursus tersebut. Sekalung penghargaan juga diberikan kepada Barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPMKB 2021 dan staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPMKB yang terlibat dalam penganjuran kursus ini.” tambah beliau lagi.

Program yang telah dilaksanakan pada 24 April 2021 yang lalu telah berjaya menarik minat lebih 110 orang peserta daripada pelbagai tahun pengajian yang bukan sahaja terdiri daripada pelajar yang ada di kampus malah turut melibatkan pelajar yang ada di kampung halaman masing – masing.  Program ini telah dilaksanakan secara atas talian melalui aplikasi Webex bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak 3 slot telah dilaksanakan dalam program kali ini dan telah disampaikan oleh Pn. Kerry Anthony Binti Marup, Penolong Pengarah Tenaga Kerja, Pejabat Tenaga Kerja Bahagian Bintulu, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Kementerian Sumber Manusia iaitu Slot 1: Jom Cari Kerja, Slot 2: Writing Resume & Job – Related Letters dan Tips Menghadapi Temuduga” kata En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPMKB merangkap Penyelaras Kursus Finishing School pada kali ini.

“Rata – rata maklum balas yang diterima daripada peserta amat memberangsangkan dan mencadangkan program ini dilaksanakan dengan lebih kerap. Memang kita sasarkan untuk laksanakan program ini setiap tahun” ujar beliau lagi.

Penganjuran program ini dilihat mampu mencapai objektif penganjurannya dan sekaligus memberi impak positif kepada graduan UPMKB agar mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar pada masa kini.

TANGKAPAN SKRIN (SCREESHOT)

KURSUS FINISHING SCHOOL

SLOT 1: JOM CARI KERJA OLEH PN. KERRY ANTHONY BINTI MARUP



 
SLOT 2: WRITING RESUME & JOB – RELATED LETTERS OLEH PN. KERRY ANTHONY BINTI MURAP



SLOT 3: TIPS MENGHADAPI TEMUDUGA OLEH PN. KERRY ANTHONY BINTI MURAP

Tarikh Input: 30/04/2021 | Kemaskini: 30/04/2021 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
BVMfXaA:23:26