KURSI PEHIN SRI ADENAN SATEM TERUSKAN LEGASI TOK NAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KURSI PEHIN SRI ADENAN SATEM TERUSKAN LEGASI TOK NAN

KURSI PEHIN SRI ADENAN SATEM TERUSKAN LEGASI TOK NAN

Abang Johari (tengah) menyaksikan Abdul Karim bertukar MoA penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem dengan B.T. Hang Tuah Baharudin. - Gambar UKAS

 

KUCHING: Penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem akan meneruskan legasi ketua menteri Sarawak kelima yang amat mencintai Sarawak dan warisan budaya negeri ini. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia juga diyakini akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

"Kursi penyelidikan ini adalah penghargaan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak kepada perjuangan Allahyarham Tok Nan (Adenan Satem) sebagai anak Sarawak. "Sepanjang hayatnya, Tok Nan membawa kemakmuran kepada rakyat Sarawak atas nama perpaduan tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 (ICOSSH 2021) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato' Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu, Naib Canselor UPM Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin dan Pengarah UPMKB Prof. Madya Dr. Shahrul Razid Sarbini.

Pada majlis itu juga pertukaran Memorandun Persefahaman (MoA) antara kerajaan Sarawak dan UPM bagi penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem. Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata menerusi penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem, satu pangkalan data mengenai komuniti Borneo diwujudkan bagi memperluaskan lagi kajian mengenai etnik-etnik Borneo. Beliau juga percaya hasil penyelidikan dilakukan Kursi Pehin Sri Adenan Satem yang menggunakan dana permulaan RM2.54 juta daripada kerajaan negeri akan menjadi rujukan perancangan dasar kerajaan negeri.

"Kursi Pehin Sri Adenan Satem akan ditempatkan di bawah Pusat Penyelidikan Etnik Borneo dan diurus Fakulti Kemanusian, Pengurusan dan Sains di UPMKB. "Pusat penyelidikan dan fakulti ini mengkhusus dalam penyelidikan sains sosial ke atas kumpulan etnik Borneo yang terdapat di Sarawak," katanya. Beliau menambah, dengan kepakaran yang ada itu akan membantu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Kerajaan Sarawak mengumpul khazanah yang masih belum diterokai atau ditonjolkan.

Justeru katanya kementeriannya bersetuju membiayai Kursi Pehin Sri Adenan Satem di UPMKB tidak hanya untuk tiga tahun akan datang tetapi beberapa tahun selepas itu. Pada majlis itu juga, Jamilah yang juga isteri Allahyarham Adenan menyampaikan sumbangan khas RM30,000 kepada Kursi Pehin Sri Adenan Satem.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DISINI

Tarikh Input: 28/10/2021 | Kemaskini: 27/04/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcTAY~