KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM2.54 JUTA TUBUH KURSI PEHIN SRI ADENAN SATEM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM2.54 JUTA TUBUH KURSI PEHIN SRI ADENAN SATEM

KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM2.54 JUTA TUBUH KURSI PEHIN SRI ADENAN SATEM

Abang Johari (tengah) menyaksikan Abdul Karim menyerahkan cek cura bernilai RM2,542,000 kepada Shahrul sebagai dana bagi Kursi Pehin Sri Adenan Satem. - Gambar UKAS

 

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM2.54 juta bagi menubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan bagi memacu usaha penyelidikan dan mempertahankan identiti unik serta kekayaan warisan budaya pribumi Borneo di peringkat antarabangsa. Beliau berkata penyelidikan etnik di Sarawak khasnya dari aspek budaya, bahasa, pemikiran manusia, adat seni dan warisan tradisional akan diterajui Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

Menurutnya, Kursi Pehin Sri Adenan Satem akan menjadi hab pengumpulan data warisan budaya dan khazanah pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Borneo yang mungkin akan terbiar atau dilupakan jika tiada penyelidikan mendalam dilakukan. Beliau berkata penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem merupakan usaha sama dalam penyelidikan antara UPM dengan kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

Kepakaran yang ada di UPM Kampus Bintulu katanya, sudah pasti membantu usaha-usaha Kerajaan Sarawak memelihara budaya dan warisan etnik Borneo. "Kerajaan Sarawak berharap dengan penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem di UPM Kampus Bintulu, mungkin akan membangunkan UPM Kampus Bintulu sebagai pusat penyelidikan etnik-etnik Borneo di Sarawak, memfokus kepada elemen-eleman budaya, bahasa dan sosioekonomi.

"Usaha UPM Kampus Bintulu memfokus kepada kajian etnik-etnik Sarawak secara khusus harus dihargai kerana kita ke arah pembangunan ekonomi yang lebih baik. "Justeru, bagi menyokong usaha murni ini, Kerajaan Sarawak bersetuju menubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan Satem yang sepanjang hayatnya merupakan seorang pemimpin yang hebat dan pendokong juga peminat elemen-elemen seni dan budaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusian 2021 di sebuah hotel di sini hari ini. Pada majlis itu juga, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoA) antara Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan UPM bagi penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai 27 kumpulan etnik dan bertutur dalam 45 dialek. Bagaimanapun katanya, jika dilihat lebih dekat, penduduk pribumi dan suku kaum Sarawak kumpulan etnik di negeri ini boleh dibahagikan kepada sub suku kaum bergantung kepada lokasi geografi mereka. Sebagai contoh katanya, komuniti Dayak dibahagikan kepada kumpulan Dayak Laut (Iban), Sebuyau, Remun, Balau dan Iban Undup manakala Melayu diklasifikasikan sebagai Melayu Brunei dan Melayu Sarawak sementara Melanau terbahagi kepada Oya, Daro, Balingian dan sebagainya.

"Sudah pastinya kepelbagai bentuk buadaya ini menyediakan sumber sangat untuk bagi aktiviti penyelidikan terutama mengenai budaya, bahasa, amalan-alaman tradisional, seni persembahan juga gaya hidup," katanya. Abang Johari menambah, walaupun Kerajaan Sarawak sedang berusaha membangunkan ekonomi digital, aspek penting budaya tempatan mesti dipelihara dan dipromosikan. Sehubungan itu katanya di bawah Belanjawan Negeri 2022, RM10 juta diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pemudahcara Warisan, Seni dan Budaya pada tahun hadapan untuk meningkatkan program serta promosi pelancongan di negeri Sarawak.

"Saya amat berharap kita dapat meneruskan program sama mencipta peluang sama dan memperkukuhkan lagi usaha menubuhkan kerjasama akademik serta penyelidikan antara universiti-universiti di kepulauan Borneo dan di seluruh kepulauan ini dan meningkatkan reputasi Borneo sebagai destinasi ekopelancongan dengan mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat antarabangsa," katanya.

Mengenai persidangan itu, Abang Johari berkata ia boleh membawa kepada pembangunan hab pendidikan peringkat antarabangsa di Borneo dan membina hubungan untuk mempromosikan dan memupuk kepelbagaian tradisi budaya masyarakatnya. Beliau berkata persidangan yang berlangsung selama dua hari itu telah menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang dan negara seperti Brunei, Indonesia dan Filipina. "Tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan UPM Kampus Bintulu kerana menganjurkan persidangan ini kerana telah menyediakan landasan membincangkan kepelbagaian budaya di kepulauan ini," katanya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato' Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu, Naib Canselor UPM  Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin dan Pengarah UPM Kampus Bintulu Prof. Madya Dr. Shahrul Razid Sarbini.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DISINI

 

Tarikh Input: 28/10/2021 | Kemaskini: 27/04/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdWAO~