INISIATIF 'DARIPADA PELAJAR KEPADA PELAJAR' UPMKB LAHIR GRADUAN UNGGUL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » INISIATIF 'DARIPADA PELAJAR KEPADA PELAJAR' UPMKB LAHIR GRADUAN UNGGUL

INISIATIF 'DARIPADA PELAJAR KEPADA PELAJAR' UPMKB LAHIR GRADUAN UNGGUL

BINTULU: Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKH2104 Usahawan Siswa (Kumpulan 1) Sesi 2022/2023-2 menyumbang kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) bagi membantu rakan pelajar lain yang memerlukan di universiti tersebut.

Wakil pelajar bagi program tersebut Wan Amrin Aniq Wan Abu Manshor berkata, sumbangan itu bagi membantu rakan-rakan yang memerlukan.

Katanya, dana sumbangan itu diperolehi daripada Projek Keusahawanan Program Putra Bakti 'Future Entrepreneur: Road To Success' secara bersemuka dengan kerjasama TEGAS Digital Inovation Hub Bintulu dan Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) 2023 baru-baru ini.

"Aktiviti keusahawanan yang memupuk minat para pelajar dalam urusan jual beli itu mampu meningkatkan ilmu keusahawanan dalam kalangan pelajar," katanya di sini hari ini. 

Sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Hal Ehwal Pelajar UPMKB Dr Kamil Latif disaksikan kakitangan UPMKB iaitu Hairunisah Abdul Rahman, Muhammad Abdul Rahim Habib serta Roslan Ismail dan seterusnya diserahkan kepada pelajar asnaf UPMKB.

Dr Kamil berkata, bantuan kebajikan pelajar merupakan suatu inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPMKB sebagai langkah membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan bantuan kewangan dan barangan keperluan.

"Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan motivasi pelajar-pelajar terlibat meneruskan pengajian secara bersungguh-sungguh di UPMKB," jelasnya.

Pada masa sama, Fasilitator Usahawan Siswa Roslan Ismail berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti keusahawanan memberi makna besar dalam kehidupan mereka dan dapat melahir graduan yang bukan sahaja unggul dari segi akademik, malah sahsiah.

"Dengan tanda pagar #putracakna, #uswabantu adalah inisiatif 'daripada pelajar kepada pelajar' yang cakna kepada rakan-rakan pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian dan dapat membantu meringankan beban mereka," katanya.

Beliau berharap para pelajar asnaf UPMKB yang menerima bantuan kewangan dan barangan menaruh semangat tinggi untuk berjaya sekali gus menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Orang awam yang berminat menyumbang kepada Putra FoodBank di BHEP UPMKB boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun 8005232086 CIMB atas nama Universiti Putra Malaysia (Rujukan: Putra FoodBank) atau menghantar terus sumbangan barangan keperluan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar Bangunan Pentadbiran, Tingkat 2, UPM Kampus Bintulu.


 

Tarikh Input: 10/04/2023 | Kemaskini: 10/04/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEZNAr~