HARI TANAH SEDUNIA: MEMUPUK KESEDARAN AKAN KEPENTINGAN TANAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » HARI TANAH SEDUNIA: MEMUPUK KESEDARAN AKAN KEPENTINGAN TANAH

HARI TANAH SEDUNIA: MEMUPUK KESEDARAN AKAN KEPENTINGAN TANAH

HARI Tanah Sedunia (#WorldSoilDay) disambut serentak di seluruh dunia pada 5 Disember sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran dan kepentingan tanah kepada manusia, terutamanya dalam industri pertanian.

Sambutan ini pada asalnya dicadangkan oleh Kesatuan Sains Tanah Antarabangsa (IUSS) sekitar tahun 2002. Namun, di bawah kepimpinan kerajaan Thailand dan melalui kumpulan rangka kerja, Global Soil Partnership (GSP) yang dipayungi oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), telah menyarankan agar sambutan WSD diperluaskan ke peringkat global secara rasmi.

Pada Jun 2013, Persidangan FAO kemudiannya mempersetujui cadangan tersebut dan mengusulkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Perhimpunan Agung ke-68 untuk pengisytiharan rasmi. Akhirnya, pada Disember 2013, Perhimpunan Agung PBB telah memgumumkan sambutan WSD pada setiap 5 Disember bermula pada 2014, sebagai tahun sambutan yang pertama.

Pemilihan tarikh 5 Disember adalah bersempena dengan hari lahir H.M. Raja Bhumibol Adulyadej iaitu Raja Thailand yang banyak menyumbang terhadap sambutan Hari Tanah Sedunia.

Tahun lepas, sambutan Hari Tanah Sedunia membawa tema “Soils: Where Food Begins” atau dalam bahasa Melayu “Tanah: Di Mana Makanan Bermula”. Pemilihan tema ini selari dengan kepentingan tanah dalam penghasilan makanan berterusan kepada manusia.

Tanah terdiri daripada komponen organisme, mineral, dan komponen organik yang memberikan makanan kepada manusia dan haiwan melalui aktiviti pertanian.

Penggunaan baja adalah salah satu cara memastikan kadar nutrien dalam tanah mencukupi. Namun, penggunaan secara berlebihan akan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan tanah. Keadaan ini bertambah buruk apabila degradasi tanah berlaku dan mengganggu aktiviti pertanian.

Oleh itu, FAO telah mencadangkan tema sambutan Hari Tanah Sedunia pada tahun lepas untuk meningkatkan kesedaran akan kepentingan memelihara ekosistem yang sihat dan kesejahteraan manusia dengan memberi penekanan kepada pelbagai cabaran dalam menguruskan tanah dan sebagainya.

Hari Tanah Sedunia tahun lepas disambut buat julungjulung kalinya di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) melalui inisiatif penganjuran oleh Jabatan Sains Tanaman (JST), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan bersama-sama Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS) pada 5 hingga 6 Disember 2022.

Sambutan ini berlangsung di Dewan Sidang di bawah pimpinan pengarah program dan juga Naib Presiden (Sarawak) bagi MSSS Dr Wan Asrina Wan Yahaya. Sepanjang sambutan berlangsung, 40 penyertaan secara berkumpulan diterima bagi pertandingan video pendek berdurasi 3 minit, poster, dan model/spesimen tanah-tumbuhan melibatkan dua kategori iaitu kategori pelajar JST dan kategori pelajar bukan JST.

Setiap pertandingan diadili oleh hakim yang terdiri daripada pegawai akademik berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh ahli jawatankuasa sambutan.

Kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan ekosistem yang sihat dan kesejahteraan manusia sejagat dapat dicapai terutama melibatkan pengurusan tanah yang betul dan mapan untuk memastikan kesihatan tanah terjamin.

Melalui video pendek, para peserta menerapkan kepentingan tanah dalam kehidupan harian menerusi aspek pengeluaran makanan dan pengurusan mapan untuk memastikan kelangsungan hidup dan ekosistem lebih sihat.

Perbezaan idea turut ditonjolkan dengan kreatif terutama melibatkan isu degradasi tanah yang dilaporkan sebanyak 33 peratus di peringkat sejagat dan kian meningkat dari masa ke semasa.

Peningkatan degradasi tanah ini mempengaruhi status kesuburan tanah yang berkait rapat dengan pengurusan tanah tidak baik, kehilangan karbon tanah, dan sebagainya.

Penyertaan poster turut memberi impak yang tinggi mengenai kesedaran akan kepentingan tanah apabila para peserta menterjemahkan hasil pembelajaran dalam bilik kuliah dengan menerapkan elemen Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (SCL).

Melalui pendekatan SCL, para peserta menonjolkan pembelajaran melalui pemahaman dan perbincangan dalam kumpulan. Ini juga meliputi pembelajaran sendiri melalui pembacaan dan penglibatan yang aktif mensintesiskan maklumat daripada sumber-sumber ilmiah.

Contohnya, penyertaan poster menekankan kepelbagaian isu utama sejagat yang turut ditekankan oleh FAO. Antara isu diketengahkan ialah kehilangan kesuburan tanah sebanyak 24 bilion tan secara tahunan disebabkan oleh hakisan tanah dan memberi kesan kepada penurunan hasil tanaman.

Para peserta turut memberi pelbagai alternatif untuk mengurangkan kesan tersebut. Pengurusan tanah yang mapan meliputi pemberian baja yang seimbang dan pengurusan yang betul dalam memastikan keselamatan tanah terjamin.

Penghantaran model/spesimen tanah-tumbuhan memberi gambaran penggunaan baja yang seimbang dan tidak seimbang melalui perbezaan fisiologi pertumbuhan tanaman. Disamping itu,penggunaan pengawal atur pertumbuhan (PGR) untuk mengubah suai pertumbuhan tumbuhan juga turut dipertandingkan.

Keperluan pengurusan keasidan tanah (pH tanah) untuk memastikan pengambilan nutrien tumbuhan yang optimum turut ditonjolkan yang juga menjadi salah satu asas kepada kesedaran pengurusan tanah yang mapan.

Program sambutan Hari Tanah Sedunia pada tahun lepas memberikan gambaran yang jelas akan kesedaran berterusan para peserta yang amat cakna akan isu tanah sejagat. Menerusi sambutan ini, para peserta mampu menjadi pemangkin kepada pengurusan tanah yang mampan pada masa hadapan.

(Artikel ini disediakan oleh pelajar PhD Izzah Abd Hamid dan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak Dr Wan Asrina Wan Yahaya. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui e-mel ke izzahabdhamid@gmail.com dan asrina@upm.edu.my.)

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

 

 

Tarikh Input: 11/01/2023 | Kemaskini: 12/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdPAh~