GULA APONG KABONG TERUS MENDAPAT PERHATIAN UNIVERSITI DALAM DAN LUAR NEGARA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » GULA APONG KABONG TERUS MENDAPAT PERHATIAN UNIVERSITI DALAM DAN LUAR NEGARA

GULA APONG KABONG TERUS MENDAPAT PERHATIAN UNIVERSITI DALAM DAN LUAR NEGARA

Para peserta program International Summer School bergambar kenangan bersama Mohd Chee Kadir dan masyarakat Kabong

KABONG, 2 Ogos 2019 (SNN)– Gula apong Kabong terus mendapat perhatian universiti dalam dan luar negara apabila sekumpulan penuntut dan pensyarah dari Zhejiang University, Hangzhou China mengikuti International Summer School anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), melakukan lawatan ke tapak pemprosesan gula apong di sini semalam.

International Summer School ini merupakan program anjuran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Ekosistem Sains Borneo, Fakulti Pertanian, Sains dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). Program yang bertemakan ‘An Interactive Multicultural Journey Through Bioderversity’ ini disertai oleh seramai 24 orang pelajar dan pensyarah dari Zhejiang Universiti, Hangzhou China.

International Summer School ini merupakan program dua minggu yang dianjurkan oleh UPMKB dan direka khas dengan pelbagai pengisian yang berkonsepkan kekayaan budaya Borneo, kepelbagaian flora dan fauna Bumi Kenyalang, perkembangan sektor pertanian dan keantarabangsaan industri yang terdapat di Sarawak.

Antara salah satu pengisian program ini adalah lawatan ke tempat pemprosesan gula apong di Kabong yang mana bertujuan memberi peluang kepada peserta melihat dan merasai sendiri kaedah pemprosesan gula apong serta mempelajari cara-cara penyediaan menu makanan tradisi yang berasaskan gula apong. Dalam masa yang sama, mereka turut berpeluang beramah mesra dengan penduduk kampung serta mempelajari budaya masyarakat setempat di Kabong

Lawatan bermula ke tempat perusahaan membuat gula apong milik Encik Shamsudin Bin Jin yang bertempat di Kampung Sungai Benang Kabong semalam. Mereka memulakan kunjungan ke lokasi pemprosesan gula apong bermula jam 9 pagi. Pemilik perusahaan, Shamsudin Bin Jin memberi penerangan terperinci kaedah memproses dan menghasilkan gula apong bermula dari pengumpulan air nira nipah sehingga menjadi gula apong menggunakan kaedah tradisional.

Pemilik perusahaan, Shamsudin Bin Jin memberi penerangan terperinci kaedah memproses dan menghasilkan gula apong

Rombongan lawatan turut dihidangkan produk kuih muih yang berasaskan gula apong


ADUN N.40 Kabong, Yang Berhormat Encik Mohd Chee Kadir bersama isteri turut menghadiri International Summer School anjuran UPMKB tersebut. Beliau berharap program sebegini dapat mewujudkan rangkaian dan jaringan kerjasama antara komuniti dan pihak universiti, bukan sahaja dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan sahsiah pelajar, malahan perkembangan masyarakat serta pertukaran budaya serta kepakaran dalam pelbagai bidang. Dalam masa yang sama program ini diharapkan memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk peserta, universiti serta komuniti dan masyarakat di Kabong.

Mohd Chee Kadir dan isteri turut sama menyertai International Summer School anjuran UPMKB

Gula Apong di Sarawak

Gula apong dihasilkan menggunakan nira pokok nipah. Pokok nipah adalah sejenis palma yang tumbuh di lingkungan hutan bakau atau daerah pasang-surut dekat tepi laut, juga dikenali sebagai buyuk di Indonesia. Penggunaan gula apong oleh penduduk tempatan pula sangat popular sebagai bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih muih tradisional masyarakat Sarawak dan ia juga dijadikan perisa bagi menambah kelazatan sesuatu makanan atau masakan di samping dipercayai kononnya dapat mengurangkan penyakit kencing manis dan darah tinggi dalam masyarakat dahulu kala.

Kuih penyaram merupakan kuih yang menggunakan gula apong sebagai ramuan utamanya


Sekiranya di Melaka terkenal dengan gula Melaka, Pahang dengan gula kabung (enau), Sarawak pula terkenal dengan gula apong. Sungguhpun manisan gula ini kelihatan hampir serupa, namun sebenarnya ia berbeza sama ada dari segi bahan yang digunakan bagi menghasilkan ketiga-tiga jenis gula ini. Rasa dan haruman antara gula Melaka, gula Kabung dan gula apong juga ada bezanya.

Dari segi perbezaan bahan penghasilan, gula Melaka diperbuat daripada nira pokok kelapa, gula Kabung diperbuat daripada nira pokok Kabung, manakala gula apong pula terhasil daripada nira pokok nipah atau dikenali sebagai pokok apong oleh penduduk tempatan Sarawak.

Proses membuat gula apong bermula dengan mengumpulkan nira pokok nipah. Selepas itu ia perlu dimasak untuk berjam-jam lamanya supaya menjadi pekat. Sepanjang tempoh itu, ia perlu dikacau tanpa henti supaya gula apong itu tidak hangus, sehinggalah ia menjadi likat. Peralatan yang digunakan masih menggunakan kaedah tradisional, iaitu bekas kayu dan tempat memasak daripada tanah.

Gula apong yang siap akan dijual dalam bentuk cecair pekat berbanding gula Melaka dan gula Kabung yang dijual dalam bentuk ketulan. Gula apong yang likat ini biasanya akan dimasukkan dalam bekas plastik ataupun bungkusan plastik untuk tujuan jualan dan ia amat mudah ditemui di tamu-tamu yang terdapat di Sarawak. Ia mempunyai permintaan yang tinggi sebab banyak digunakan dalam penyediaan makanan dan minuman.

Manisan gula apong banyak digunakan dalam pembikinan kuih. Antara kuih yang mesti menggunakan gula ini adalah kuih penyaram (atau dikenali sebagai pinjaram di Sabah) yang sememangnya digemari oleh orang Sarawak dan Sabah. Selain penyaram, manisan gula ini juga banyak digunakan dalam penyediaan kuih manis (beras pulut), kuih selorot, rojak, rempah BBQ dan lain-lain. Selain kuih, manisan gula Apong turut digunakan dalam penyediaan cendol, Teh C Special dan juga ais krim. Salah satu ais krim yang terkenal di Sarawak iaitu aiskrim gula apong adalah menggunakan pemanis gula apong dalam bahannya.

Tarikh Input: 02/08/2019 | Kemaskini: 06/08/2019 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
BVMeXBQ:23:01