BENGKEL M3 (MOTIVASI MESRA MATEMATIK) DI SMK SEMOP, DARO | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » BENGKEL M3 (MOTIVASI MESRA MATEMATIK) DI SMK SEMOP, DARO

BENGKEL M3 (MOTIVASI MESRA MATEMATIK) DI SMK SEMOP, DARO

Daro: Program Bengkel M3 (Motivasi Mesra Matematik) telah diadakan pada 23 – 24 September 2022, membabitkan seramai 89 orang murid Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Semop, Daro yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac 2023. Program ini merupakan anjuran bersama antara Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu di bawah kelolaan Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) dan “Malaysian Society of Agricultural and Food Engineer – Student Chapter UPM Bintulu” (MSAE-SC UPM Bintulu); dan Sekolah Menengah Kebangsaan Semop yang mana dikelola oleh Panitia Sains dan Matematik dan Unit Bimbingan & Kaunseling.

Program ini juga mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SMK Semop. Program ini telah dipengerusikan oleh En. Mohammad Latif Rapili yang merupakan peserta bagi Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan atau “National Professional Qualification for Educational Leaders” (NPQEL) dengan penyeliaan bersama oleh Dr. Juniza Md Saad daripada UPM Kampus Bintulu dan Pn. Norliza Azman di pihak SMK Semop. Seramai 21 delegasi UPM Kampus Bintulu termasuk 10 orang mahasiswa/i (wakil MSAE-SC UPM Bintulu) yang juga merupakan pelajar-pelajar program Diploma Kejuruteraan Pertanian turut serta bagi menjayakan program ini.

Bengkel M3 (Motivasi Mesra Matematik) yang bertemakan “Dare to Achieve” ini adalah salah satu program yang dirancang dalam Projek Intervensi M3 (Melek Menggilap Matematik) untuk menangani isu pencapaian murid yang masih rendah dalam matapelajaran Matematik terutamanya bagi menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Murid di SMK Semop seolah-olah amat asing dan takut dengan matapelajaran Matematik. Semasa menduduki ujian Matematik murid mudah putus asa dan tidak mampu menjawab soalan-soalan ujian seperti di dalam minda mereka terdapat satu persepsi bahawa Matematik itu susah.

Antara topik motivasi dan kemahiran Matematik yang telah dikongsikan oleh penceramah untuk murid adalah “Math is Fun” dan “Matematik SPM”. Di dalam kedua-dua sesi ini, murid didedahkan dengan kepentingan Matematik dalam kehidupan seharian dan keperluan untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT), teknik menjawab soalan peperiksaan Matematik dalam SPM serta kepentingan kalkulator dan kegunaannya. Selain itu, aktiviti permainan Matematik turut diadakan bagi menarik minat murid terhadap Matematik dan seterusnya menolak persepsi murid bahawa Matematik adalah susah malah ianya seronok untuk dipelajari. Santapan rohani dan jasmani turut diberi penekanan melalui sesi “Kembara Ilmu Kendiri” dan “Riadah Pagi”. Diharapkan dengan perlaksanaan bengkel ini dapat membantu meningkatkan motivasi dan keyakinan diri murid terhadap mata pelajaran Matematik, seterusnya menaikkan minat dan menukar persepsi mereka terhadap mata pelajaran ini.

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SMK Semop, Daro di bawah seliaan Pengetua, Encik Abdul Gani Sibli yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi menjayakan program ini. Semoga usahasama dan jaringan antara pihak universiti dan agensi luar seperti ini dapat diteruskan untuk memperkasakan modal insan negara.

 

Tarikh Input: 29/09/2022 | Kemaskini: 29/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdDAw~