ANAK PENAN DARI LONG MERAAN BARAM PERTAMA CAPAI IJAZAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » ANAK PENAN DARI LONG MERAAN BARAM PERTAMA CAPAI IJAZAH

ANAK PENAN DARI LONG MERAAN BARAM PERTAMA CAPAI IJAZAH

SERDANG 24 Mac - Perjalanan selama lapan sehingga 10 jam dari rumah keluar ke bandar Miri tidak menghalang Kelvin Niyok, 25, untuk menjadi satu-satunya etnik Penan Sarawak dari Kampung Long Meraan, Baram, Sarawak untuk meraih ijazah.

Beliau yang merupakan graduan Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian berkata dengan kejayaan yang diraih hari ini akan dapat mengubah nasib suku kaum minoriti di Sarawak itu menjadi lebih baik.

“Apabila saya menjadi orang pertama yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti saya telah merancang daripada awal untuk berjaya dan tunjukkan pada kaum saya bahawa pendidikan bukan untuk segelintir masyarakat sahaja.”

“Saya ada tanggungjawab kepada suku kaum saya kerana kita yang akan menentukan generasi akan datang,” katanya selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45.

Bagaimanapun, Kelvin mengakui bahawa pernah merasa berputus asa ketika semester pertama pengajian ijazahnya apabila tidak berjaya mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.00. “Saya hampir untuk berhenti belajar tetapi saya bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang memberi semangat serta saya bertekad untuk meningkatkan prestasi pada semester kedua dan akhirnya saya berjaya melepasi 3.75 pada semester kedua.” Kelvin Niyok bersama ijazah yang diterimanya Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 pada 22 Mac 2022. “Bagi saya di mana kita ada tekad, kejayaan itu pasti akan ada.

''Pesanan saya kepada anak-anak Penan ambillah peluang untuk melanjutkan pelajaran bagi menaikkan lagi suku kaum kita,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Sebelum ini, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kejuruteraan Pertanian di UPM Kampus Bintulu (UPMKB) dan bergraduat pada tahun 2018.

Maklumat Lanjut, klik DISINI

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 24/03/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEaFAN~