30 EKAR TANAH DIKENAL PASTI UNTUK MAKMAL PENYELIDIKAN BERAS BIRIS DI GEDONG | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 30 EKAR TANAH DIKENAL PASTI UNTUK MAKMAL PENYELIDIKAN BERAS BIRIS DI GEDONG

30 EKAR TANAH DIKENAL PASTI UNTUK MAKMAL PENYELIDIKAN BERAS BIRIS DI GEDONG

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tanah seluas 30 ekar di Lubok Punggor, Gedong untuk dijadikan makmal bagi menjalankan penyelidikan mengenai beras Biris.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian ini akan dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia dan setakat ini universiti itu mendapat kerjasama daripada petani tempatan.

“Saya telah mengarahkan pihak universiti terbabit untuk meningkatkan pengeluaran padi kepada tiga kali tuaian dalam tempoh 18 bulan dan kita juga boleh menambah nilai dengan menghasilkan tepung Biris yang boleh digunakan untuk membuat biskut yang sedap dan wangi.

“Memandangkan teknologi baharu akan digunakan, maka kita telah mengenal pasti makmal lapangan seluas kira-kira 30 ekar di Lubok Punggor untuk tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Lawatan Kerja Premier Sarawak Ke Daerah Gedong di Tapak Projek di Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong dan Tapak Projek Mini Isthmus Gedong pada Sabtu. 

Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak juga telah menjalinkan kerjasama dengan pemilik tanah di kawasan berkenaan. 

“Sekiranya usaha itu berjaya, kita akan meluaskan penggunaan pertanian pintar menerusi penyelidikan itu ke daerah lain termasuk Sri Aman,” ujarnya.

Menurutnya, industri padi perlu memanfaatkan pertanian pintar dan teknologi supaya negeri dapat meningkatkan pengeluaran padi sebagai tanaman jaminan bekalan makanan.

“Di Malaysia, selain Kedah, Sarawak juga boleh menjadi pengeluar beras utama tetapi untuk melakukannya, kita perlu menggunakan teknologi baharu dan bukan hanya bergantung kepada cara lama.

“Cara lama bergantung kepada kepercayaan.  Tetapi dengan teknologi sedia ada sekarang, apa yang penting kita dapat meningkatkan hasil padi sekali gus menambahkan lagi pendapatan  para pesawah.

“Buat masa ini purata pendapatan mereka antara RM1,500 hingga RM2,000 berdasarkan keadaan semasa.

"Jika didarab dengan tiga (tuaian), pendapatan RM2,000 mereka didarab tiga menjadi RM6,000, secara teori," kata Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong.

Kredit kepada : Utusan Borneo

Tarikh Input: 25/01/2023 | Kemaskini: 25/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855201
086855888
WWCFGA2:06:30