145 PELAJAR UPM BINTULU SERTAI PROGRAM 'BERGEMPURU KITAI SEMUA' DI SEBAUH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 145 PELAJAR UPM BINTULU SERTAI PROGRAM 'BERGEMPURU KITAI SEMUA' DI SEBAUH

145 PELAJAR UPM BINTULU SERTAI PROGRAM 'BERGEMPURU KITAI SEMUA' DI SEBAUH

BINTULU (25 Jan): Seramai 145 pelajar Universiti Putra Malaysia kampus Bintulu (UPMKB) mengambil bahagian dalam program ‘Bergempuru Kitai Semua’ di Rumah Meikle Ding, Sungai Sekutan, Sebauh.

Program selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Januari itu dianjurkan bersama Kelab Bioindustri (Bio-Inc), Kelab Perhutanan (Fortress) dan Kelab Akuakultur (AgriAqua).

Jurucakapnya, Gloria Mendrick berkata, nama program itu diambil daripada bahasa Iban yang bermaksud ‘'Kita semua berkumpul bersama’ yang melibatkan pelajar, pensyarah dan masyarakat setempat dari rumah panjang 28 pintu itu.

“Daripada survei di rumah panjang itu, kami mendapati kebanyakan penduduk mengetahui pengetahuan asas pertanian tradisional tetapi kurang pendedahan mengenai pengetahuan pertanian moden.

“Justeru, program ini dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan umum selain mempelajari teknik asas pertanian yang mesra alam, mudah dan mudah difahami.

“Selain itu program ini juga bertujuan memupuk hubungan yang lebih erat antara pelajar dan penduduk setempat dan pada masa yang sama membina keyakinan diri terhadap aktiviti-aktiviti termasuk memahami budaya dan adat resam tempatan seperti ‘bertabuh’, ‘ngajat’ dan ‘gagong’,” katanya.

Antara yang hadir pada penutupan program itu ialah pegawai daerah Sebauh, En. William Manggoi, Tuai Rumah Meikle Ding, pengarah program Julian Jawan dan penasihat program Dr Jessica Jeyanthi.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program berlangsung antaranya ceramah oleh pensyarah kanan Jabatan Sains Tanaman UPMKB, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Dr. Franklin Ragai Kudat, Prof. Madya Dr John Keen Chubo dari Jabatan Sains Perhutanan UPMKB, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan dan pensyarah Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan UPMKB, En. Lirong Yu Abit.

Dr. Franklin bercakap mengenai pertanian tanpa tanah manakala Prof. Madya Dr. John dan En. Lirong masing-masing menyentuh teknik cantuman pokok dan pembiakan ikan air tawar.

Penduduk juga telah mempelajari amalan pertanian yang baik daripada demonstrasi oleh En. Awie Danguah dan En. Dennis Lek Gouk dari Pusat Pertanian Putra UPMKB.

“Daripada program ini, para pelajar belajar dan didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang diharapkan dapat membentuk keperibadian mereka dan juga mengukuhkan kemahiran insaniah mereka yang hanya boleh diperolehi di lapangan dan bukan di dalam kelas,” kata Gloria.

Tarikh Input: 26/01/2023 | Kemaskini: 26/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdSAL~